GEORGE TOWN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah di Seberang Jaya dekat sini, hari ini yang didakwa menyediakan perkhidmatan pengambilan anak angkat secara haram.
Pengarah JKM negeri, Zakaria Taib berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya mengesan mesej tukar mengenai perkhidmatan tersebut di TikTok.
Bagaimanapun, jelas beliau, tiada tangkapan dibuat di lokasi serbuan susulan pemilik kediaman itu mendakwa alamat rumahnya telah disalah gunakan.
“Semakan di lokasi mendapati rumah tersebut didiami seramai tujuh orang terdiri daripada ahli keluarga.
“Hasil soal siasat lanjut mendapati pemilik rumah itu telah membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan susulan lebih 30 orang awam hadir ke rumahnya sejak April atas alasan mahukan anak angkat.
“Sehubungan itu, kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan perkhidmatan itu benar wujud atau sebaliknya,” katanya hari ini.Sementara itu, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim turut menyelar tindakan pengguna TikTok berkenaan yang disifatkan melanggar undang-undang negara.
Katanya, tindakan tersebut juga dilihat tidak berperikemanusiaan dan seolah-olah bayi berkenaan boleh bertukar hak milik sekelip mata dengan hanya melakukan transaksi dalam talian.
“Semua perlu faham bahawa prosedur pengambilan anak angkat dibuat dengan teliti oleh jabatan kerajaan terbabit bagi memastikan bayi berkenaan selamat.“Tiada jalan pintas atau singkat bagi proses pengambilan bayi angkat kerana setiap langkah perlu diambil dan diperhalusi supaya hak asasi bayi itu terjamin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menerusi hantaran di Facebook berkata, dia sudah memaklumkan kepada pengendali Tiktok untuk menghapuskan kandungan berkenaan.Katanya, tindakan sedang diambil bagi menyekat, mengharamkan dan melaporkannya kepada pihak polis. – MalaysiaGazette