Penjual goreng pisang disyaki larikan kanak kanak didakwa esok

KUALA LUMPUR – Seorang penjual goreng pisang yang ditahan polis selepas disyaki melarikan kanak kanak perempuan berusia lapan tahun pada 19 Julai lalu akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan seorang kanak-kanak berkenaan di Taman Ikan Emas, Jeram.

Katanya, polis bertindak atas aduan itu membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 369 Kanun Keseksaan kerana cuba melarikan orang dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Bagaimanapun kanak-kanak ini bersama seorang lagi kanak-kanak lain telah dihantar semula oleh suspek di Taman Kelisa pada hari yang sama selepas insiden itu.

“Hasil siasatan polis mendapati mangsa telah dibawa oleh suspek dipercayai warga tempatan menaiki kereta Perodua Bezza berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat pada 21 Julai lalu, jam lebih kurang 2.40 pagi pasukan polis Kuala Selangor berjaya menahan suspek.

Suspek berusia 32 tahun merupakan seorang penjual goreng pisang diberkas di Jalan Pawang Jalil di Jeram, Kuala Selangor.

“Kertas siasatan kes telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri Selangor hari ini dan mendapat arahan untuk menuduh suspek,” katanya.

Suspek akan didakwa di Mahkamah Majlistret Sungai Besar, Kuala Selangor paukul 9 pagi esok atas dua kesalahan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melarikan kanak-kanak daripada jagaan sah.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan dikenakan denda. – MalaysiaGazette

Source :