5 khasiat nanas termasuk atasi masalah keradangan sendi

NANAS lazimnya enak dimakan begitu sahaja sebagai pencuci mulut, selain sebagai campuran koktail mahupun salad buah.

Buah tropika itu bukan sahaja banyak khasiat dari segi kesihatan termasuk rendah kalori, malah ia kaya dengan pelbagai vitamin seperti vitamin A, C, K, B6, kalium, magnesium, protein, zink dan kalsium.

Jadi juga sesuai untuk diet dan mengandungi antioksidan serta enzim pencernaan yang boleh membantu memudahkan penghadaman.

Berikut lima manfaat nanas untuk kesihatan:

1. Membantu mengatasi arthritis

Terdapat pelbagai jenis arthritis, tetapi kebanyakannya membabitkan keradangan pada sendi. Jadi, nanas yang mengandungi bromelain (enzim di dalam nanas) dikatakan mempunyai sifat antiradang.

Ini disokong oleh kajian Penasihat kualitatif utama, RDS South Central di University of Southampton, di England, Dr Sarah Brien, mendapati bromelain di dalam nanas boleh mengurangkan gejala arthritis.

2. Mengurangkan risiko kanser

Berdasarkan kajian, penyelidik dari University of Naples Federico II Naples, Itali, Barbara Romano, mendapati nanas boleh membantu mengurangkan risiko kanser.

Beberapa kajian lain menunjukkan nanas boleh membantu mengurangkan risiko kanser dengan meminimumkan tekanan oksidatif dan mengurangkan keradangan.

3. Membantu meningkatkan imuniti

Nanas membantu meningkatkan imuniti dan menyekat keradangan. Dalam kajian sembilan minggu dijalankan oleh penyelidik, Mavil May C Cervo, ke atas 98 kanak-kanak yang diberi nanas setiap hari dan sebahagiannya tidak diberi makan nanas, mendapati keputusan menunjukkan kanak-kanak yang paling banyak makan nanas, hampir empat kali lebih banyak sel darah putih bagi melawan penyakit berbanding yang lain.

4. Membantu menyembuhkan batuk

Makan nanas dipercayai dapat mengurangkan batuk, iaitu ia boleh mengeluarkan lendir ketika batuk, sekali gus mampu membantu meredakan batuk. Ia sesuai dijadikan jus dan diminum bagi tujuan itu.

5. Baik untuk kulit dan rambut

Nanas juga dikatakan baik untuk kulit dan rambut. Ia mengandungi vitamin C yang boleh membantu anda mendapatkan rambut yang lebih lembut dan bersinar.

Nanas mempunyai sifat antiradang kerana ia mengandungi enzim bromelain yang mampu membantu mencegah jerawat dan ruam kulit.