GURUN: Dua rumah, sebuah kereta dan dua motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Guar Chempedak, di sini malam tadi.
Komander Operasi Kanan Zon 2 Sungai Petani, Penguasa Bomba Johari Bar Azwar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 10.02 malam.
Beliau berkata, operasi disertai dua pasukan bomba iaitu dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dan BBP Yan dengan membabitkan 18 anggota.
“Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Kota Sarang Semut, Guar Chempedak, Pendang dan Gurun.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati tiga rumah separa kekal sedang terbakar dan sebuah daripadanya berjaya diselamatkan.
“Dua rumah musnah 70 peratus manakala sebuah rumah lagi hanya terbakar lima peratus dan turut membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan dua motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya tiada mangsa dilaporkan berada di lokasi kejadian ketika kebakaran berlaku.
Johari berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu dan operasi tamat sepenuhnya jam 12.47 tengah malam.
Katanya, setakat ini punca dan kerugian masih disiasat oleh Bahagian Siasatan Jabatanà Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.