PAJU (KOREA SELATAN): Menteri Luar Australia, Penny Wong hari ini berkata, pakatan keselamatan yang ditandatangani Russia dan Korea Utara menggugat kestabilan rantau itu.
Katanya, tindakan Korea Utara memberikan senjata kepada Russia jelas satu pelanggaran terhadap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Wong bercakap kepada pemberita di bandar Paju selepas melawat Zon Bebas Tentera (DMZ) berdekatan yang memisahkan kedua-dua Korea, yang secara teknikalnya, sehingga kini masih bermusuhan antara satu sama lain.
“Kami melihat tindakan Russia bukan ke arah mencapai keamanan sebaliknya meningkatkan lagi ketegangan,” katanya yang merujuk kepada pakatan keselamatan ditandatangani pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden Russia, Vladimir Putin pada Jun.
Di bawah pakatan itu, Korea Utara dan Russia bersetuju memberikan bantuan ketenteraan segera jika kedua-dua negara berdepan ancaman pencerobohan bersenjata.
Washington dan sekutunya turut bimbang susulan kerjasama ketenteraan yang semakin erat antara Russia dan Korea Utara dengan menuduh kedua-dua negara melanggar undang-undang antarabangsa kerana menjual senjata untuk digunakan Russia bagi menentang Ukraine.
Pyongyang dan Moscow bagaimanapun menafikan terbabit dalam sebarang transaksi berkaitan senjata.
“Pemindahan senjata berterusan dari Korea Utara ke Russia adalah pelanggaran terang-terangan terhadap resolusi Majlis Keselamatan PBB,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Kementerian Luar Seoul, memaklumkan, Menteri Luar Korea Selatan, Cho Tae-yul turut menyuarakan kebimbangan berhubung kerjasama ketenteraan Korea Utara dan Russia ketika pertemuan dengan Wong.
“Korea dan Australia berkongsi visi yang sama dengan kami untuk menegakkan peraturan yang ditetapkan di rantau ini,” katanya.
Tambah kementerian itu, Korea Selatan dan Australia juga akan melancarkan dialog mengenai keselamatan ekonomi dan mengadakan perbincangan tahunan berkaitan iklim.