Pearly-Thinaah mara ke suku akhir

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mengesahkan tiket ke suku akhir Sukan Olimpik Paris selepas menewaskan gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dalam aksi terakhir Kumpulan A, sebentar tadi.

Pasangan ranking ke-13 dunia itu cemerlang apabila melakar kemenangan straight set 21-18, 21-9 ke atas lawan dari Indonesia itu pada aksi yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena.

Keputusan itu membolehkan Pearly-Thinaah melangkah ke kelompok lapan terbaik selaku naib juara kumpulan, di belakang pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan yang merekodkan kemenangan dalam ketiga-tiga perlawanan.

Aksi Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia ketika menentang Pearly Tan-M Thinaah. - REUTERS/Hamad I Mohammed
Aksi Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia ketika menentang Pearly Tan-M Thinaah. – REUTERS/Hamad I Mohammed

Pearly-Thinaah pula hanya tewas di tangan Qing Chen-Yi Fan dalam aksi pertama sebelum menundukkan pasangan nombor enam dunia dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara, kelmarin dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia.

Lebih membanggakan, bekas juara Terbuka Perancis itu menjadi beregu wanita kedua negara yang berjaya melangkah ke suku akhir di pentas Sukan Olimpik selepas gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada edisi 2016 di Rio de Janeiro.

Beregu wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan ketika beraksi menentang beregu wanita Indonesia, Rahayu Apriyani dan Ramadhanti Siti Fadia Silvia dalam acara badminton Sukan Olimpik Paris 2024, di Arena Porte De La Chapelle hari ini. - Bernama
Beregu wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan ketika beraksi menentang beregu wanita Indonesia, Rahayu Apriyani dan Ramadhanti Siti Fadia Silvia dalam acara badminton Sukan Olimpik Paris 2024, di Arena Porte De La Chapelle hari ini. – Bernama

Bagaimanapun, Vivian-Khe Wei ketika itu gagal ke separuh akhir tewas di tangan pasangan Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.

Undian suku akhir beregu wanita dijadual diadakan selepas tamat semua aksi peringkat kumpulan, awal pagi esok.