KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf sebarang tuntutan pihak luar ke atas negeri ini, termasuk kumpulan yang mendakwa pewaris Kesultanan Sulu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sebarang cubaan tuntutan termasuk melalui pencerobohan seperti berlaku ketika insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 akan terus ditentang.
Katanya, dakwaan yang mengatakan Sabah milik Kesultanan Sulu adalah tidak berasas, lebih-lebih lagi ia sudah tidak wujud dan tidak pernah diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.
“Kesultanan Sulu sudah lama tidak wujud dan tidak diiktiraf oleh mana-mana negara berdaulat atau organisasi antarabangsa.
“Ia adalah percubaan tidak berasas oleh kumpulan berkenaan untuk mendakwa kedaulatan ke atas wilayah Malaysia,” katanya pada pelancaran buku mengenai Op Daulat Tanduo di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Buku bertajuk ‘Pasukan Gerakan Am, Briged Sabah: Menghapuskan Pengganas dan Kolum Kelima di Kampung Tanduo, Lahad Datu’ itu menceritakan kisah sebenar ketika insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013.
Dokumentasi mengenai operasi pasukan keselamatan ketika insiden itu dilakukan menerusi kerjasama Jabatan Arkib Negeri Sabah dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah.
Hajiji berkata pendirian kerajaan negeri jelas dan selaras dengan suara rakyat Sabah yang memilih untuk membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia pada tahun 1963 (MA63). Atas sebab itu, katanya sebarang tuntutan luar tidak akan dilayan oleh kerajaan negeri dan rakyat Sabah keseluruhannya.
“Pengorbanan pasukan keselamatan, terutama ketika insiden Tanduo adalah besar kerana mereka berjuang untuk kedaulatan negara dan keselamatan rakyat dengan nyawa mereka.
“Peranan PGA dalam insiden itu sangat dihargai semua rakyat Malaysia kerana tanpa keberanian dan pengorbanan mereka, kedaulatan negara akan terancam,” katanya.
Hajiji juga berharap penerbitan buku itu membolehkan generasi muda memahami apa yang berlaku ketika pencerobohan berkenaan, terutama pengorbanan pasukan keselamatan negara.
Beliau berkata, sudah 11 tahun berlalu sejak pencerobohan Tanduo dan selaras dengan pengukuhan keselamatan di Pantai Timur Sabah, keadaan di Lahad Datu kini sudah kembali normal.
“Kerajaan mengambil langkah kritikal dengan membentuk East Sabah Security Command (ESSCOM) yang banyak membantu dalam mengembalikan keadaan normal di Lahad Datu.
“ESSCOM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan PGA mengukuhkan lagi pengawasan di perairan Sabah,” katanya.
Dalam hal berkaitan, Hajiji turut menyuarakan keperluan untuk mempercepatkan pembinaan dua lagi kompleks batalion PGA, masing-masing di kawasan pantai timur dan pedalaman Sabah dalam usaha mengukuhkan kawalan keselamatan di negeri ini.
Beliau berkata, kedudukan dua batalion baharu PGA itu, iaitu Batalion 21 Keningau dan Batalion 22 Kunak, penting bagi menangani sebarang ancaman di kawasan pantai timur dan pedalaman Sabah.