Bukan mustahil tumbangkan JDT – Nafuzi

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tetap menaruh harapan untuk melangkah ke final Piala FA meskipun perlu menempuhi laluan yang berliku pada cabaran separuh akhir kedua menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), esok.

Ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain menegaskan impian ke final bukan mustahil sekiranya pemain berjuang habis-habisan dan memperagakan aksi luar biasa di gelanggang keramat penyandang juara itu.

“Walaupun ketinggalan satu gol, kami bertekad untuk memburu kemenangan kerana impian kami juga hendak ke final dan ia tidak mustahil.

“Apa yang kami perlu lakukan adalah mencuba dengan sebaik mungkin, menggandakan lagi usaha dan perlu mengatasi kelebihan lawan yang beraksi di laman mereka sendiri.

“Untuk itu kami tidak boleh hanya bertahan kerana untuk layak ke final, kami perlu menjaringkan gol untuk mendapatkan kemenangan. Kami perlu beri segalanya yang kami ada pada perlawanan penting ini,” katanya.

Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman 19 Julai lalu, skuad Kenari tewas 1-2

Dalam pada itu, Nafuzi mahu keseluruhan jentera pasukannya kekal teguh di sebalik setiap dugaan dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh skuad kendaliannya termasuk ketiadaan tiga tonggak utamanya.

“Rizal Ghazali dan Sukhrob Nurullaev tidak boleh beraksi akibat kecederaan manakala penyerang Syafiq Ahmad tidak dapat diturunkan kerana berstatus pemain pinjaman.

“Namun, saya tetap yakin dengan pemain lain untuk memberi yang terbaik,” katanya.