Indonesia melonggarkan had tempoh bagi gugurkan kandungan

JAKARTA: Indonesia akan membenarkan wanita menggugurkan kandungan sehingga usia 14 minggu dalam keadaan tertentu, berbanding had enam minggu sebelum ini.

Ia adalah sebahagian daripada perubahan peraturan bertujuan mengekang kadar kadar kematian ibu bersalin di Indonesia, yang mencatatkan jumlah tertinggi di Asia Tenggara.

Peraturan baharu itu, ditandatangani menjadi undang-undang oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi) minggu ini, berikutan tuntutan daripada aktivis hak wanita dan pengamal penjagaan kesihatan.

Mereka berpendapat bahawa peraturan sebelum ini terlalu ketat dalam kes rogol, menyebabkan beberapa wanita dan kanak-kanak perempuan dipenjarakan kerana menggugurkan kandungan yang melebihi enam minggu.

Pengguguran adalah haram di Indonesia, negara paling ramai penduduk Islam di dunia, kecuali bagi tujuan kecemasan perubatan atau kes rogol.

Namun, kajian 2018 di Jawa, di mana hampir 60 peratus rakyat Indonesia tinggal, menganggarkan 1.7 juta pengguguran berlaku di sana setiap tahun.

Gesaan untuk menghapuskan jenayah pengguguran di Indonesia semakin ketara selepas seorang remaja dirogol oleh abangnya dijatuhi hukuman penjara enam bulan pada 2018 kerana menggugurkan kandungan.

Dia kemudiannya dibebaskan oleh mahkamah yang lebih tinggi selepas bantahan awam.

Peraturan baharu itu adalah sebahagian daripada langkah lebih luas yang diperkenalkan untuk meningkatkan kesihatan reproduktif wanita.

Antaranya termasuk pembiayaan swasta untuk hospital awam dan peningkatan bekalan doktor dengan menggalakkan doktor terlatih dari luar negara bekerja di Indonesia dan mengurangkan yuran pengajian untuk pelajar perubatan.

Indonesia, ekonomi terbesar Asia Tenggara, mempunyai enam doktor bagi setiap 10,000 orang, berbanding 25 di Singapura dan sembilan di Thailand, menurut data Bank Dunia.

Dengan 189 kematian ibu bagi setiap 100,000 kelahiran hidup, Indonesia mempunyai nisbah kematian ibu yang jauh lebih tinggi berbanding negara lain di rantau ini.

Indonesia sedang berusaha untuk menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk 278 juta penduduknya, kerana kekurangan doktor di kawasan terpencil dan masa menunggu selama berbulan-bulan untuk rawatan.

Republik itu juga mahu mengekalkan jangka hayatnya pada 71.3 tahun pada 2019, berbanding dengan purata 76.3 tahun bagi golongan negara berpendapatan sederhana dan ke atas. – AGENSI