Zii Jia harapan terakhir emas badminton

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menjadi harapan terakhir badminton untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.

Dua lagi wakil negara yang turut diletakkan sebagai sandaran iaitu beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah masing-masing terkandas di separuh akhir, semalam.

Zii Jia pula pula berjaya melangkah ke separuh akhir selepas menumbangkan pemain nombor tiga dunia dari Denmark, Anders Antonsen 21-17, 21-15 pada aksi suku akhir di Porte de La Chapelle Arena, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan pemain ranking nombor tujuh dunia berkenaan menempah pertemuan menentang juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn bagi perebutan tiket ke pentas final, esok.

Bagi Zii Jia, dia perlu memperagakan aksi bertaraf ‘lima bintang’ bagi berdepan Kunlavut yang menduduki ranking nombor lapan dunia.

Dia percaya lawannya itu ketika ini berada pada tahap prestasi terbaik selepas menyingkirkan pemain nombor satu dunia dari China, Shi Yu Qi 21-12, 21-10 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Zii Jia dan Kunlavut terikat 4-4 berdasarkan rekod pertemuan tetapi Kunlavut menang aksi terakhir antara mereka ketika Terbuka Indonesia, Jun lalu.

“Rekod pertemuan saya dengan Kunlavut tidak berapa baik, dia adalah juara dunia (2023). Saya perlu buat persiapan terbaik.

“Dia menewaskan pemain pilihan utama (Yu Qi). Jadi, sudah tentu dia berada pada tahap terbaiknya dan berkeyakinan tinggi,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sebagai rekod, kali terakhir wakil perseorangan lelaki Malaysia berjaya melangkah ke final Sukan Olimpik adalah menerusi Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2016 di Rio de Janiero yang menyaksikan dia sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas di tangan pemain China, Chen Long.

Sebelum itu, Chong Wei turut melangkah ke final pada edisi 2008 di Beijing dan 2012 di London tetapi kecundang di tangan seorang lagi pemain China, Lin Dan dalam kedua-dua pentas final.

Sementara itu, mengulas mengenai kemenangannya ke atas Antonsen yang juga rakan baiknya, Zii Jia mengakui dia sendiri terkejut melihat dirinya dapat beraksi dengan tenang untuk menewaskan lawan berkenaan.

“Saya gembira dengan prestasi saya dan kejayaan mara ke separuh akhir. Saya terkejut apabila saya dapat beraksi dengan tenang dalam perlawanan itu.

“Saya dapat rasakan keinginan tinggi Antonsen untuk memenangi perlawanan dan mungkin itu salah satu sebab dia banyak buat kesilapan mudah.

“Ini adalah Olimpik, semua pemain apabila masuk ke gelanggang mahu menang. Ia bergantung siapa yang boleh beraksi dengan tenang dan mengawal situasi dalam gelanggang terutama tekanan,” katanya.

Rekod pertemuan

Lee Zii Jia 4 Kunlavut Vitidsarn 4

***Kejohanan Remaja Jerman 2016

Lee Zii Jia mn Kunlavut Vitidsarn 21-14, 21-9

***Masters Thailand 2017

Lee Zii Jia mn Kunlavut Vitidsarn 21-8, 21-9

***Terbuka Switzerland 2021

Kunlavut Vitidsarn mn Lee Zii Jia 21-18, 21-10

***Jelajah Dunia Akhir BWF (peringkat kumpulan)

Lee Zii Jia mn Kunlavut Vitidsarn 21-15, 21-16

***Jelajah Dunia Akhir BWF 2021 (pusingan kalah mati)

Kunlavut Vitidsarn mn Lee Zii Jia 21-18, 21-18

***Terbuka Jerman 2022

Kunlavut Vitidsarn mn Lee Zii Jia 21-13, 21-12

***Sukan Asia 2022 (individu)

Lee Zii Jia mn Kunlavut Vitidsarn 10-21, 21-19, 21-6

***Terbuka Indonesia 2024

Kunlavut Vitidsarn mn Lee Zii Jia 21-16, 21-17