Hantaran dikongsi Ezad di Instagram (IG) tanda kesedihan pemergian Allahyarham Jay Jay. – Foto IG Ezad Lazim
KUALA LUMPUR: Pemergian Allahyarham Jay Jay atau nama sebenar, Mohd Fauzi Darus, 67, memberi kesan mendalam kepada bekas anggota Exist, Ezad Lazim.
Ezad berkata, jika bukan kerana arwah Jay Jay yang berkeras agar syarikat rakaman mengambilnya sebagai penyanyi Exist, dia mungkin tidak mencipta nama dalam industri muzik.
“Arwah Jay Jay adalah insan yang bertanggungjawab menjaga vokal saya ketika rakaman album pertama bersama Exist.
“Itu adalah kenangan takkan saya lupakan sampai bila-bila.
“Arwahlah insan yang mempertahankan saya untuk kekal bersama Exist kerana pada ketika itu, ada suara-suara pihak atasan yang berpendapat saya tidak sesuai menjadi penyanyi Exist,” dakwanya melalui hantaran Instagram (IG), malam tadi.
Ezad mendakwa syarikat rakaman mahu Exist mencari penyanyi lain yang lebih sesuai biarpun dia sudah merakamkan hampir separuh lagu dalam album terbabit.
“Saya masih ingat arwah bertegas melalui perbualan telefon dengan nada yang agak keras. Arwah membangkitkan kenapa perlu cari penyanyi lain dan apa alasan mereka mendakwa suara saya tidak sesuai.
“Dengan ketegasan itu, akhirnya syarikat rakaman akur saya kekal sebagai vokalis Exist dan kerana arwah, saya bertahan bersama Exists hingga album terakhir,” katanya.
Semakan dibuat menunjukkan Allahyarham Jay Jay bertindak sebagai penerbit vokal bagi projek album Exist berjudul Diammu Gunung Berapi terbitan 1995.