Calon BN PRK DUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani ketika ditemui di Bertam, Gua Musang. – Foto Paya Linda Yahya
GUA MUSANG: Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, tidak menolak sekiranya DAP datang membantu kempennya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangn Negeri (DUN) Nenggiri.
Katanya, beliau tiada hak untuk menolak sekiranya parti itu sanggup turun padang dan datang membantu dalam siri kempennya.
“Ini negara demokrasi, kita tiada hak untuk halang sesiapa sahaja untuk datang. Mana-mana pemimpin boleh datang dan bantu kempen.
“Lagipun saya rasa mereka (DAP) lebih faham dengan keadaan di Nenggiri ini apabila 87 peratus adalah pengundi Melayu. Kita tak ada halangan (pemimpin DAP) nak datang bantu kempen.
“Mana tahu ianya memberi kelebihan, kita tak tahu, kita berusaha selebihnya kita serah kepada Allah S.W.T. Saya terima secara terbuka kita tak boleh sekat sesiapa untuk datang berkempen, itu sahaja,” katanya ketika ditemui di Bertam Baru, di sini.
Ketika ditanya isu yang dimainkan pihak lawan yang berkait ‘UMDAP’, beliau berkata, ia hanyalah satu persepsi dan tanggungjawabnya adalah memenangi hati pengundi.