KUANTAN: Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) merobohkan binaan haram di sebuah pusat pelancongan di pusat peranginan tanah tinggi itu semalam kerana tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan mengikut Seksyen 70 (1) Pembinaan Tanpa Kelulusan di bawah Akta 133 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
Dalam satu kenyataan hari ini, MDCH memaklumkan, operasi jam 9 hingga 11.30 pagi itu diketuai Yang Dipertuanya, Azmil Hadid Maznan.
Turut serta kakitangan petugas Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Cameron Highlands (PDTCH), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Cameron Highlands dan Tenaga Nasional Berhad ( TNB).
“Tindakan penguatkuasaan ini diharap dapat menjadi iktibar dan peringatan kepada mana-mana pihak yang berhasrat melaksanakan projek pembangunan agar mematuhi sepenuhnya prosedur dan peraturan berkaitan semasa,” menurut kenyataan itu.
Difahamkan, pusat pelancongan terbabit baru dibuka April lalu dan menjadi tumpuan ramai, khususnya pelancong dari luar negara. Harga tiket yang dikenakan RM40 bagi dewasa, manakala RM20 untuk kanak-kanak berumur antara lima dan 12 tahun.
Pusat pelancongan itu menjadi pilihan pengunjung yang ingin berswafoto dan bergambar dengan pemandangan cantik, terutama segi reka bentuk bangunan dan landskap.