Trio Britain lebur rekod dunia, ungguli pecut berpasukan wanita

PARIS: Emma Finucane mengemudi kejayaan Britain meraih pingat emas pertama berbasikal trek pada Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara pecut berpasukan wanita awal pagi tadi, dengan rekod dunia dipecahkan lima kali pada sesi itu.

Trio Finucane, Sophie Capewell dan Katy Marchant mengungguli velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines dengan rekod baharu dunia 45.186 saat untuk mengalahkan New Zealand, dengan Jerman meraih gangsa.

Ia pingat emas pertama Britain sejak acara itu ditambah dalam program Olimpik pada London 2012, dengan kemenangan itu melengkapkan hari luar biasa yang menyaksikan rekod dunia dipecah berulang kali.

Britain yang pertama memecahkan rekod terdahulu catatan China pada pusingan kelayakan, melepasi garisan penamat dengan masa 45.472s.

Namun ia dipecahkan sekali lagi oleh Jerman pada pusingan pertama dan beberapa minit kemudian New Zealand mengatasinya sebelum Britain kembali memegang rekod itu dengan 45.338s.

Dengan kejuaraan menjadi pertaruhan, Britain sekali lagi membakar litar dengan rekod baharu dunia pada pertembungan final menentang New Zealand, dengan Finucane yang tenang melakukan kayuhan emas pada pusingan terakhir.

“Ia berasa amat luar biasa sepanjang hari, kami hanya melakukan setiap kayuhan dan ‘oh lebih pantas lagi, lebih pantas sekali lagi,” kata Capewell.

Reaksi pelumba Britain, Emma Finucane selepas mengakhiri perlumbaan dan memecahkan rekod dunia acara pecut berpasukan wanita pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom Nasional Saint-Quentin-en-Yvelines di Montigny-le-Bretonneux, barat daya Paris, awal pagi tadi. – Foto AFP
Reaksi pelumba Britain, Emma Finucane selepas mengakhiri perlumbaan dan memecahkan rekod dunia acara pecut berpasukan wanita pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom Nasional Saint-Quentin-en-Yvelines di Montigny-le-Bretonneux, barat daya Paris, awal pagi tadi. – Foto AFP

Finucane adalah wajah baharu sukan berbasikal Britain selepas mencuri tumpuan dengan memenangi acara pecut pada kejuaraan dunia di Glasgow tahun lalu.

“Kami berjaya mengungguli perlumbaan final dan saya percaya dengan keupayaan kami sebelum melakukannya tetapi untuk melaksanakan pusingan satu, pusingan dua dan pusingan tiga dengan cukup sempurna dan kemudian melepasi garisan penamat terlebih dahulu, saya seperti ‘ah tidak mungkin’,” katanya.

“Ia satu mimpi yang menjadi nyata dan untuk berada di samping mereka ini memang luar biasa.”

Juara bertahan dua kali China berakhir di tangga keenam.

Ia kali pertama pada Sukan Olimpik acara pecut berpasukan wanita menampilkan tiga pelumba, sama seperti lelaki, bekerjasama untuk mencatat masa terpantas dalam tiga pusingan atau 750 meter.

Pada temasya terdahulu, hanya dua pelumba berkayuh dengan jarak 500m. – AFP