Media perlu lebih bertanggungjawab – KPN

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meminta semua pihak khususnya pengamal media supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak menyiarkan berita yang tidak diketahui atau diragui kesahihannya.

Beliau mengakui perkembangan pesat teknologi menyebabkan timbul persaingan dan mendorong media menyiarkan laporan semasa secara lebih pantas, namun ia seharusnya tidak melangkaui sempadan etika kewartawanan.

“Perkembangan teknologi menyebabkan wujudnya pelbagai media termasuk portal sehingga mungkin berlaku persaingan ‘siapa’ keluar berita dahulu atau sebagainya.

“Bagaimanapun, kita menasihatkan orang ramai, terutama pihak media bagi memastikan berita yang dilaporkan daripada pihak yang berkaitan membabitkan sesuatu isu dan bukannya memetik ‘sumber’ yang tidak tahu sahih atau tidak.

“Hal ini banyak berlaku kebelakangan ini, mengambil contoh kes pembunuhan Nur Farah Kartini dan terbaharu isu yang menyentuh pengurusan serta dalaman PDRM,” katanya kepada media, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita tempatan menyiarkan laporan didakwa diperoleh daripada sumber, mengenai wujud rancangan pertukaran beberapa kepimpinan tertinggi PDRM.

Bagaimanapun, Razarudin dalam satu kenyataan menegaskan berita itu sebagai tidak benar.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, sekiranya berita dilaporkan didapati berunsur khianat atau fitnah, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Jelas beliau, antara tindakan boleh diambil adalah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM), Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Di bawah Seksyen 233 AKMM, mereka yang berkenaan boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit bersalah.

Razarudin bagaimanapun berkata, kerjasama erat media dan PDRM amat diperlukan bagi melaporkan kes semasa dan pencapaian pihak polis.

Sehubungan itu, beliau mahu hubungan yang sekian lama terjalin diteruskan dan pada masa sama turut memahami tuntutan pihak media sebagai perantara dalam menyampaikan berita kepada masyarakat.