‘Kami keturunan orang yang bunuh Birch?’

Kuala Lumpur: Meskipun ibu saya berasa sangsi apabila menerima satu pesanan WhatsApp tentang seorang penyelidik genealogi yang cuba mencarinya dan adik-beradiknya di kampung halaman mereka di Tambun, Perak, dalam masa yang sama dia juga ingin tahu apa tujuan lelaki itu.

Penyelidik yang bernama Fazil Shuhaimi Talib itu juga mempunyai nama adik-beradik ibu juga nama ibunya dan lain-lain. Pesanan lelaki itu juga menyatakan bahawa mereka semua adalah keturunan seseorang yang ibu saya sendiri tidak pernah dengar namanya – Puteh Manjera bt Muhammad Amin. Rupanya Puteh Manjera itu adalah moyang ibu saya dan itulah sebabnya mengapa penyelidik itu mencari ibu saya dan adik-beradiknya.

Ibu saya boleh menjejak susur galurnya sehingga kepada neneknya sahaja tetapi tentang moyangnya, ia suatu misteri sehinggalah sekarang. Kalau difikirkan kembali, agak ganjil juga ibu saya tidak tahu menahu tentang moyangnya.

Selepas dapat pengesahan Fazil itu adalah seorang penyelidik yang sahih, ibu saya bersetuju untuk bertemu dengannya.

Fazil ini bekas jurutera, berusia 70 tahun dan kesempatan bertemu dengan ibu saya yang berumur 85 tahun seakan merungkai kisah misteri yang sedang diselidikinya. Ingatan ibu saya memanglah baik kerana dia masih boleh ingat setiap perkara yang memalukan, yang pernah saya buat. Makanya, dia tidak punya masalah untuk mengingati semua nama sepupunya serta anak-anak mereka, walau sejauh mana mereka tinggal.

Bagi kami yang lain, kemunculan Fazil ini bukan sahaja membawa maklumat tentang buyut dan saudara perempuannya, ia juga menggambarkan betapa dekatnya hubungan kami, mungkin kepada pembunuhan Residen British James WW Birch, satu detik sejarah penting dalam zaman kolonial di Malaysia.

“Untuk katakan kita ni keturunan dari salah seorang yang membunuh Birch, boleh tahan juga,” kata Maya, sepupu saya.

Ketika penyelidikan Fazil mungkin menjawab beberapa persoalan tentang keluarga kami, ia mencetuskan lebih banyak soalan. Bagaimana kami langsung tidak tahu tentang kaitan kami dengan Laksamana Muhammad Amin?

Kisah ini, yang lepas dan sekarang, berpusat di Kampung Kepayang, sebuah kampung di Fair Park, Ipoh. Meskipun hampir dengan pusat bandar, ia agak terpinggir sehinggalah baru-baru ini.

Profesor Madya Kehormat Ahmad Jelani Halimi, Pengerusi Sejarah Malaysia (PSM) cawangan Perak memberitahu saya bahawa kampung itu dipinggirkan kerana sejarahnya.

“British menganggap Kg Kepayang sebagai kampung pemberontak dan disenaraihitamkan,” katanya, lalu memberikan sebab-sebabnya.

Kg Kepayang adalah di mana Sultan Ismail Muabidin Riayat Shah, Sultan Perak ke-25 dan pemberontak yang lain, termasuk Datuk Maharaja Lela Pandak Lam, mencari perlindungan daripada tentera British sewaktu Perang Perak pada tahun 1875. Di pihak Kepayang, ia juga kubu kuat Panglima Kinta. Datuk Panglima Kinta Ngah Jabor, yang juga seorang panglima pada masa itu, adalah salah seorang yang bersubahat dalam pembunuhan Birch dan dia juga paman buyut Fazil.

Ketika itu, Sultan Ismail sudah digulingkan di bawah Perjanjian Pangkor dengan British pada tahun 1874, yang menoktahkan perebutan tahta dengan melantik Sultan Abdullah Muhammad Shah II sebagai pengganti.

JAMES WW Birch
JAMES WW Birch

Perjanjian itu signikan daripada segi sejarah kerana ia memberi ruang penguasaan British ke atas raja-raja Melayu dengan perlantikan seorang Residen British yang ditugaskan untuk mentadbir dan menasihati sultan. Perak merupakan negeri pertama jatuh untuk memberi laluan kepada pemerintahan British di negeri-negeri Melayu.

Menurut Ahmad Jelani, meskipun meminta bantuan British untuk mendapatkan semula tahta negeri Perak, Sultan Abdullah kemudiannya menyesal menandatangani Perjanjian Pangkor, dan berasa diri baginda diperbodohkan oleh British.

Sultan Abdullah terutamanya berduka kerana baginda perlu mendengar kata James WW Birch, yang kebanyakan pakar sejarah bersetuju tidak mempunyai langsung sikap berdiplomasi. Ketika Birch melaksanakan dasar baik atau buruk, dia lakukannya secara kurang ajar, tanpa langsung berunding dengan raja-raja.

“Dia membuat provokasi. Orang Melayu pun tak terima bahawa pengutipan cukai tu mesti kepada dia. Dia hantar notis semua cukai ke pemungut cukai. Pembesar-pembesar tak dibenarkan,” kata Ahmad Jelani, dengan menambah, tindakan itu bermakna pembesar kehilangan pendapatan mereka dengan sekelip mata.

Beliau berkata, satu lagi sebab mengapa pembesar Melayu membenci Birch ialah dia membebaskan hamba, yakni mereka yang dijual untuk bekerja sebagai cara membalas hutang mereka. Khabar angin turut tersebar bahawa Birch juga membebaskan ramai wanita yang menjadi gundik pembesar, yang menjadikan pembesar itu semakin benci kepadanya.

“Memanglah bagus (membebaskan orang yang menjadi hamba kerana hutang), tetapi bukan cara yang dia buat. Dalam pada dia melakukan sesuatu yang baik, bukan secara mendesak,” katanya.

Ada hamba yang tidak gembira dibebaskan kerana mereka tidak lagi mudah mendapat pakaian, makanan dan tempat tinggal.

Tidak lama kemudian Sultan Abdullah, Laksamana Muhammad Amin – yang Fazil katakan adalah ‘cakawari’ saya – Lela Pandak Lam, Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim bin Jaafar, Syahbandar Uda Maamor, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dan pembesar lain mengadakan mesyuarat untuk merancang membunuh Birch.

Selepas pembunuhan Birch pada tahun 1875 oleh Lela Pandak Lam dan yang lain, Sultan Ismail memberi mereka perlindungan. Mereka dan yang bersubahat melarikan diri ke Kg Kepayang, mencari perlindungan sementara daripada abang tiri Lela Pandak Lam iaitu Ngah Jabor, sebelum bertolak ke Siam. Tentera British dan sekutunya yang menjejak mereka berjaya menawa mereka.

Lela Pandak Lam dan pembantunya Sepuntum dibicarakan dan didapati bersalah kerana membunuh dan digantung sehingga mati pada tahun 1877. Datuk Panglima Kinta Ngah Jabor dilucutkan jawatan Panglima Kinta dan dikenakan buangan ke Johor, meskipun dia dilaporkan secara diam-diam kembali semula ke Ipoh sedekad kemudian dan menggunakan nama lain, demikian menurut penyelidikan. Pasak Kepayang juga kehilangan pangkat itu, yang sebelum ini diberi secara bergilir dalam kalangan sepupu-sepupu mereka di Paloh.

Pakar sejarah tidak pasti sama ada pihak British mempunyai peranan dalam menyingkirkan waris keturunan Ngah Jabor daripada barisan pengganti.

Mengenai Sultan Abdullah, Laksamana Muhammad Amin, Ngah Ibrahim dan Uda Maamor, mereka dikenakan buangan ke kepulauan Seychelles. Laksamana membawa bersama isteri pertamanya, Toh Puan Fatimah. Kedua-dua anak perempuan mereka, Ngah Teresah dan Puteh Manjera, sudah berkahwin ketika itu dan tinggal di Kg Kepayang. Isteri-isteri Laksamana yang lain serta anak-anak mereka tidak mengikutinya.

Sehingga kini memang tidak banyak maklumat tentang Laksamana Muhammad Amin dan apa yang dilakukannya.

MOHD Samsudin. FOTO BERNAMA
MOHD Samsudin. FOTO BERNAMA

Sekutu Pengarah Institut Kajian Tuah Profesor Madya (Bersara) Mohd Samsudin berkata, Laksamana pada dasarnya dikenali kerana siapa yang dia kenali dan kepada siapa dia berkhidmat.

“Dia berada dalam kumpulan itu tetapi sama ada dia ada menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu, tidak ada dokumen mengenainya, kecuali ia dalam kenyataan yang dirakam oleh saksi. Bagaimana besar peranannya, tiada siapa yang tahu,” katanya.

Itu adalah antara cabaran dalam membuat penyelidikan ke atas sejarah Melayu. Sebelum dan pada tahun awal kependudukan British, orang Melayu jarang membuat sebarang penulisan, dan lebih gemar menurunkan sejarah komuniti menerusi tradisi percakapan.

Ditambah dengan kekacauan yang berlaku pada masa itu, sebarang hubungan dengan musuh pihak British yang dikenakan perintah buangan, sudah tentunya baik sahaja dipendamkan.

Meskipun tiada rekod pihak British mengenakan tindakan ke atas keluarga atau saudara-mara mereka yang terlibat dengan pembunuhan Birch, Mohd Samsudin berkata, terdapat kecenderungan untuk sanak saudsara atau sekutu mereka yang dikenakan buangan, untuk mendiamkan diri.

Sebagai contoh, terdapat sepucuk surat meminta pihak British untuk membayar kos perjalanan pulang Toh Puan Fatimah dan anak saudara lelakinya ke negeri Melayu selepas 20 tahun tinggal di Seychelles, tetapi tiada lagi selepas itu.

“Itu ketika pemerintahan British di Perak. Bagi sesetengah orang, mereka menukar nama mereka (atau menggunakan nama gelaran). Itulah salah satu masalah penyelidikan salasilah,” kata Mohd Samsudin, yang juga timbalan pengerusi majlis eksekutif PSM.

MUZIUM Masjid Panglima Kinta, Ipoh, Perak. FOTO BERNAMA
MUZIUM Masjid Panglima Kinta, Ipoh, Perak. FOTO BERNAMA

Bagaimanapun, semua ini tidak mematahkan semangat Fazil, yang penyelidikannya bermula dengan kata seorang orang mak cik di Kampung Kepayang sekitar 15 tahun lepas.

“Dia kata, ada dua orang anak Orang Besar Ipoh yang kahwin dengan orang Kepayang. Dia bagi nama: Teh Manjera dengan Ngah Teresah, ” beliau memberitahu saya sewaktu kunjungan ke Kampung Kepayang.

“Itu yang membuatkan hati saya berdetik, kisah itu menarik dan saya perlu menggali maklumat mengenainya.”

Wanita tua itu sudah pun meninggal dunia.

Fazil, yang juga presiden Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3), berkata, dia pernah mendengar nama berkenaan tetapi tidak tahu Ngah Teresa adalah moyangnya, yang berkahwin dengan anak lelaki Datuk Panglima Kinta Ngah Jabor, atau adik perempuannya Puteh Manjera. Dia juga tidak tahu mereka adalah anak perempuan Laksamana Muhammad Amin sehingga dia menjumpai geran tanah yang diwartakan pada tahun 1914, yang memperuntukkan sebidang tanah untuk Masjid (tua) Kepayang.

Nama penuh mereka tercatat di atas geran itu. Itu pun, dia masih berasa sangsi.

“Kerana banyak sangat nama Muhammad Amin, nama itu nama biasa,” katanya.

Beliau kemudian menjadi yakin sebaik sahaja dia membandingkan keturunan dua orang saudara perempuannya dengan rekod genealogi keluarga yang lain, seperti Toh Puan Fatimah, isteri pertama Laksamana dan juga keluarga Panglima Kinta, di samping dokumen arkib seperti hak milik hartanah. Dia juga menemu bual seramai mungkin orang tua yang boleh dicari, yang masih mengingati nama saudara mara dan memberi dia maklumat untuk pergi ke beberapa kampung di Ipoh. Memang sukar baginya kerana ramai orang tua yang sudah meninggal dunia atau berpindah ke tempat lain.

SALASILAH keluarga Laksamana Muhammad Amin. FOTO BERNAMA
SALASILAH keluarga Laksamana Muhammad Amin. FOTO BERNAMA

Meskipun dia tidak memperolehi sebarang bukti konkrit keibubapaan saudara perempuannya – tidak ada sijil perkahwinan atau sijil kelahiran pada masa itu – semakin dalam pencariannya, dia tetap bertemu dengan kumpulan orang atau keluarga yang sama. Dengan mengambilkira keluarga cenderung berkahwin antara satu sama lain, kata Fazil, pada akhirnya terlalu banyak kebetulan yang tidak boleh diketepikan.

Kemungkinan itu yang terbaik baginya, kerana rekod nenek moyang kebiasaannya hanya untuk keluarga diraja.

Usahanya ternyata berbaloi apabila Mohd Samsudin juga membuat kesimpulan yang serupa. Kerajaan Negeri Perak menyenaraikan Ngah Teresah dan Puteh Manjera sebagai anak perempuan Laksamana Muhammad Amin daripada isteri pertamanya dalam edisi 2022 “Susur Galur Keturunan Orang Besar Empat dan Orang Besar Lapan.”

Dapatan ini diwartakan pada bulan Mac tahun ini.

Apabila Fazil berjaya menjejak ibu saya, dia mahukan bukti yang kami mempunyai pertalian darah. Dia ada menemui dokumen hak milik tanah, yang Puteh Manjera mewasiatkan kepada anak perempuan sulungnya Mik Hakiah bt Gapar. Ramai daripada keturunannya masih tinggal di tanah itu di Kg Kepayang.

Ibu saya memberikannya banyak juga maklumat. Ibu saya masih ingat Mik Hakiah, iaitu nenek saudaranya, dan dua pupunya.

“Selepas ibu saya meninggal dunia, ibu pergi ke sana semasa cuti sekolah,” ibu beritahu saya. Sewaktu kunjungan ke Ipoh baru-baru ini, ibu sempat menziarahi rakan sepermainannya semasa kecil, yang sudah lama tidak bertemu.

“Ingat lagi tak? ” ibu bertanya.

Pada usia 88 tahun dan berkerusi roda selepas serangan angin ahmar, sepupunya, yang mesra dengan panggilan Mambi, dengan lemah mengangkat kepalanya dan tersenyum.

“Ingat,” kata lelaki itu.

IBU saya (kanan) ibu sempat menziarahi rakan sepermainannya semasa kecil, gelaran Mambi (kiri), yang sudah lama tidak bertemu sewaktu kunjungan ke Ipoh baru-baru ini. FOTO BERNAMA
IBU saya (kanan) ibu sempat menziarahi rakan sepermainannya semasa kecil, gelaran Mambi (kiri), yang sudah lama tidak bertemu sewaktu kunjungan ke Ipoh baru-baru ini.
Source :