Jam besar Pasar Kedai Payang terpaksa dirobohkan sekitar tahun 1980-an bagi memberi ruang kepada pembangunan dan pembesaran Pasar Kedai Payang dan kawasan sekitarnya didirikan semula oleh Kerajaan Persekutuan melalui KPKT. – Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Melangkah masuk ke Pasar Kedai Payang 1 yang mula beroperasi 1 Ogos lepas, mata pasti akan terpesona dengan pelbagai kraftangan tempatan yang dijual, termasuk barangan kemas Terengganu sebagai tarikan pengunjung.
Namun di sebalik kemeriahan jualan di sini, ramai tidak mengetahui terutama pengunjung luar bahawa lokasi Pasar Kedai Payang 1 itu dahulu pernah menempatkan monumen penting bagi memperingati kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.
“Sebuah menara menempatkan jam besar pernah dibina di sini pada penghujung 1957 oleh arkitek Jabatan Kerja Raya Terengganu, dengan ukiran perkataan ‘Merdeka 31st August 1957,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Sejarah dan Perundangan Diraja Terengganu Datuk Mohd Yusof Abdullah kepada Bernama baru-baru ini.
Berkongsi lebih lanjut, Mohd Yusof berkata menara berbentuk segi empat sama dengan bumbung empat penjuru itu dibina dengan bermotifkan rumah tradisional Terengganu bagi menghargai kemerdekaan yang diraih hasil pengorbanan nyawa dan harta para pejuang.
“Pada keempat-empat bahagian dinding jam besar itu, terdapat empat ukiran mural yang memaparkan aktiviti ekonomi penduduk ketika itu, iaitu menangkap ikan, menanam padi, perusahaan tembaga dan tenunan songket,” katanya.
Bersesuaian dengan lokasinya di kawasan pesisiran, jam besar tersebut memainkan peranan penting sebagai penunjuk waktu kepada penduduk setempat, termasuk golongan nelayan dan peniaga yang kebanyakannya ketika itu belum mampu memiliki jam tangan.
“Selain sebagai mercu tanda kemerdekaan, jam besar tersebut dibina untuk memudahkan aktiviti seharian penduduk setempat. Secara umumnya, jam besar juga merupakan lambang sesuatu tempat. Di mana-mana sahaja kita pergi pun, pasti ada jam besar,” katanya sambil memberitahu ketika itu kebanyakan negeri lain turut membina jam besar sebagai tanda kegembiraan meraih kemerdekaan.
Bagaimanapum, jam besar itu terpaksa dirobohkan sekitar 1980-an bagi memberi ruang kepada pembangunan dan pembesaran Pasar Kedai Payang dan kawasan sekitarnya.
Kini, setelah berpuluh tahun dirobohkan, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendirikan semula jam besar baharu bagi mengembalikan nostalgia penduduk, seiring dengan pembinaan semula Pasar Kedai Payang 1.
Projek Arkitek Abdul Rahim Abu Bakar berkata jam berketinggian 12 meter itu terletak sejauh 15 meter dari tapak asal jam besar sebelum ini, dan menara itu dibina antara lain sebagai tarikan baharu di Pasar Kedai Payang 1 dan 2.
“Pembinaan menara jam besar ini lebih kepada menjadi satu monumen atau mercu tanda kepada Pasar Kedai Payang 1 dan 2 serta kawasan sekitarnya. Sebagai arkitek, kami peka dengan trend orang ramai yang gemar berfoto untuk kenangan. Oleh itu, pembinaan menara jam ini secara langsung adalah ”tindakan segera”‘ kepada budaya sejagat dan hasilnya telah dapat dilihat pada hari ini,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya.
Arkitek daripada syarikat LWC Architect itu berkata dengan mengekalkan bentuk segi empat tepat, jam tersebut turut mempunyai menara yang reka bentuknya a bentuknya diilhamkan daripada mimbar Masjid Abidin (Masjid Negeri) yang terletak kira-kira 200 meter dari Pasar Kedai Payang 1 dan 2.
“Ciri seni bina dengan motif ‘bangau’ pada kubah menara jam ini adalah diadaptasi daripada struktur ukiran bangau pada haluan (bahagian hadapan) perahu nelayan tradisional. Kami juga menampilkan gaya seni bina campuran moden dengan pemasangan dinding kaca pada keempat-empat bahagian menara, bertujuan menghasilkan kesan istimewa apabila lampu di menara apabila lampu dihidupkan pada waktu malam.
“Rupa bentuk, ukiran dan pemilihan bahan kemasan adalah mengikut gaya tradisional dan bersifat Nusantara, selain di bahagian dinding turut diserikan dengan ukiran bercorak geometri Islamik” katanya, sambil memberi tahu pihaknya berjaya menyiapkan jam besar tersebut dalam tempoh lebih kurang enam bulan.
Sebagaimana yang diminta oleh pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu katanya, di sekitar jam besar tersebut turut mempunyai ruang untuk dijadikan tempat para pengayuh beca berkumpul bersama beca masing-masing, yang seterusnya dapat menarik perhatian pengunjung untuk bergambar.
Sementara itu, seorang peniaga keropok di Pasar Kedai Payang 2, Zainun Jusoh, 65, berkata dia sangat gembira dengan pembinaan semula jam besar itu yang diyakini dapat menarik lebih ramai pengunjung.
Katanya dia sering mendengar ibunya Halijah Taib, 84, bercerita mengenai kenangan bersama jam besar yang telah dirobohkan dahulu.
“Emak telah berniaga di situ sebelum Pasar Payang wujud lagi. Jadi emak menyaksikan sendiri bagaimana jam besar itu dibina sehingga lah ia dirobohkan. Sekarang ini, emak sudah tidak larat untuk keluar rumah dan adakalanya ingatannya terganggu. Saya ada tunjuk foto jam besar baharu kepada emak dan emak sangat teruja melihatnya,” katanya.