Israel perintah lebih banyak pemindahan di Gaza

CAIRO: Tentera Israel terus mengarahkan perintah pemindahan di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza malam semalam, memaksa puluhan ribu penduduk Palestin dan keluarga terpaksa berpindah untuk meninggalkan kawasan terbabit dalam kegelapan sambil letupan tembakan meriam bergema di sekitar mereka.

Tentera Israel berkata mereka menyerang kumpulan Hamas – yang mengurus Gaza sebelum perang – yang menggunakan kawasan terbabit untuk melancarkan serangan dan menembak roket.

Pada Sabtu, serangan udara Israel di sebuah sekolah di Gaza City yang digunakan sebagai tempat perlindungan oleh pelarian Palestin membunuh sekurang-kurangnya 90 orang, menurut perkhidmatan pertahanan awam, yang mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Tentera Israel berkata mereka telah menyerang pos komando Hamas dan Jihad Islam, satu tuduhan yang ditolak oleh kedua-dua kumpulan sebagai alasan, dan membunuh 19 pejuang.

Di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, arahan pemindahan meliputi kawasan di tengah, timur dan barat, menjadikannya salah satu perintah terbesar dalam konflik yang sudah berusia 10 bulan itu, dua hari selepas kereta kebal kembali ke timur bandar.

Pengumuman terbabit disiarkan di laman X dan dalam mesej teks serta audio kepada telefon penduduk: “Untuk keselamatan anda, anda mesti segera berpindah ke zon kemanusiaan yang baru diwujudkan. Kawasan yang anda berada kini dianggap sebagai zon pertempuran berbahaya.”

Tentera Israel berkata mereka telah menyerang sekitar 30 sasaran ketenteraan Hamas dalam 24 jam yang lalu, termasuk struktur ketenteraan, pos pelancaran roket antikereta kebal dan kemudahan penyimpanan senjata.

Kebanyakan daripada 2.3 juta penduduk Gaza sudah dipindahkan dari rumah mereka, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sementara tanah mereka telah banyak menjadi kawasan runtuhan.

Pegawai Palestin dan PBB mengatakan tiada kawasan selamat di kawasan terbabit.

Kawasan yang ditetapkan sebagai zon kemanusiaan, seperti Al-Mawasi di barat Khan Younis di mana penduduk dihantar, telah dibom beberapa kali oleh pasukan Israel.

Puluhan ribu orang meninggalkan rumah dan tempat perlindungan mereka pada waktu tengah malam, menuju ke barat ke Mawasi dan utara ke Deir Al-Balah, yang sudah terlalu sesak dengan ratusan ribu orang yang terpaksa berpindah.

Israel melancarkan serangannya ke Gaza selepas pejuang Hamas menyerbu selatan Israel pada 7 Oktober lalu, membunuh 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, dan menangkap lebih daripada 250 tebusan, menurut kiraan Israel.

Sejak itu, hampir 40,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan.

Pegawai kesihatan Gaza mengatakan kebanyakan kematian adalah orang awam tetapi Israel berkata sekurang-kurangnya satu pertiga adalah pejuang.

Israel berkata ia telah kehilangan 329 tentera di Gaza. – REUTERS