Nakano gugat peluang Shah Firdaus menang pingat Sukan Olimpik 2024

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mampamerkan semangat juang tinggi sebelum terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keenam pada final keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada perlumbaan di Velodrom Saint Quentin en Yveline itu, Shah Firdaus mengalami nasib malang apabila dia yang suatu ketika dilihat berada di kedudukan untuk sekurang-kurangnya meraih gangsa pada pusingan terakhir dilanggar pelumba Jepun, Shinji Nakano yang mengakibatkannya terjatuh.

Dia yang tidak dapat menamatkan perlumbaan diturunkan untuk berada di kedudukan keenam.

Nakano dan pelumba Great Britain, Jack Carlin yang turut terbabit dengan pelanggaran diklasifikasikan sebagai DNF (tidak menamatkan perlumbaan).

Perlumbaan final itu dimenangi pelumba Belanda, Harrie Lavreysen untuk merangkul pingat emas ketiganya di Paris selepas turut memenanginya dalam acara pecut individu dan berpasukan.

Pingat perak menjadi milik pelumba Australia Matthew Richardson manakala rakan senegaranya, Matthew Glaetzer membawa pulang gangsa.

Keputusan itu menyaksikan misi Malaysia untuk menamatkan penantian meraih emas sulung Olimpik berterusan dengan Shah Firdaus menjadi wakil terakhir negara diletakkan sandaran untuk merealisasikannya pada temasya di Paris.

Jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang sebelum ini disingirkan di pusingan pertama, awal pagi tadi.

Penyertaan pemenang perak Olimpik Tokyo 2020 itu dibatalkan selepas didapati mendahului derny (pacer).