KUALA KANGSAR: Polis menahan seorang warga emas bagi membantu siasatan insiden bendera Malaysia dipasang secara terbalik di sebuah premis bangunan, di Jalan Dato Sagor, di sini yang mana insiden berkenaan turut tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, tangkapan dilakukan ke atas lelaki berusia 60-an yang menghuni premis terbabit susulan satu laporan polis mengenainya dibuat berkaitan hantaran tular terbabit.
“Polis mengesan hantaran yang ditularkan melalui laman Facebook ” KUALA KANGSAR TETAP DI HATI” mengenai pemasangan bendera Malaysia secara terbalik itu jam 3.20 petang hari ini ketika pengadu berada di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di bangunan itu.
“Satu laporan polis dibuat berkaitan dengan hantaran itu, dan tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki berusia 60-an bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menolak kemungkinan suspek melakukan perkara itu atas dasar kesilapan disebabkan faktor usia.
Justeru, suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis
“(Suspek mengatakan) tersilap pasang…(Suspek) kan orang tua. Dia betulkan kembali (kedudukan sepatutnya Jalur Gemilang) pada hari yang sama.
“Siasatan masih dijalankan walaupun suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Heisham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (perbuatan dengan niat untuk mengganggu keamanan).
Berdasarkan hantaran termasuk berupa gambar dan video yang ditularkan, bendera yang kedudukan dipasang terbalik berkenaan dipasang pada tiang yang berada di atas sebuah premis bangunan tiga tingkat tertera nama bangunan Persatuan Kwongsai Kuala Kangsar.