Nuraina Humaira disyaki dirogol sebelum dibunuh

SUNGAI SIPUT – Polis kini menyiasat kematian kanak-kanak perempuan Orang Asli Nuraina Humaira Rosli,10, sebagai kes bunuh selepas hasil bedah siasat mendapati wujud unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata, sebelum ini kematian murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu diklasifikasikan sebagai sebagai mati mengejut (SDR).

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan mangsa dipercayai dirogol sebelum dibunuh berikutan hasil penemuan bedah siasat yang selesai sekitar jam 4.30 petang tadi.

Menurutnya, susulan itu, seorang lelaki berusia 17 tahun dipercayai mempunyai pertalian darah dengan mangsa turut ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Sungai Siput mengesahkan terdapat kecederaan akibat tekanan di bahagian leher dan juga koyakan di kemaluan mangsa.

“Susulan keputusan bedah siasat yang selesai sekitar jam 4.30 petang, kita menahan suspek di rumahnya di kampung berkenaan sekitar jam 5.30 petang tadi. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

“Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Selain itu, kita akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek esok,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini, pada Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, polis telah merekodkan keterangan beberapa penduduk kampung termasuk ibu bapa mangsa.

“Kita juga mendapatkan maklumat daripada pihak sekolah bagaimana keadaan mangsa di sekolah. Ini kerana kita difahamkan mangsa mempunyai masalah pendengaran dan lembam,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai rupaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga boleh menganggu siasatan pihak polis.

Terdahulu, MG Perak melaporkan seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemukan maut dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya dekat perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di sini, semalam.

Mayat Nuraina Humaira dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berkenaan sekitar jam 4.20 petang pada Sabtu.

Mohd Khaizam berkata, mayat mangsa ditemukan antara 50 hingga 100 meter dari rumah terakhir di perkampungan terbabit. – MG Perak

Source :