Seorang terkorban, dua cedera dalam serangan tembakan di pusat bandar Istanbul

ISTANBUL: Seorang individu terbunuh dan dua lagi cedera dalam serangan tembakan di bandar terbesar Turkiye ini, kata pihak berkuasa tempatan hari ini, lapor Xinhua.

Pejabat Gabenor Istanbul menyatakan dalam satu kenyataan bahawa insiden itu berlaku lewat malam Ahad di daerah Kagithane di sebelah Eropah bandar berkenaan.

Kenyataan itu berkata mangsa yang terbunuh dan seorang individu yang cedera adalah warga asing.

Di tempat kejadian, unit polis menemukan sepucuk pistol yang dipercayai digunakan dalam serangan itu, bersama sarung peluru yang telah digunakan, menurut kenyataan berkenaan.

Ia menambah bahawa dua yang cedera menerima rawatan di hospital, dengan seorang dalam keadaan kritikal dan siasatan berskala besar dilancarkan untuk menangkap pelaku.

– BERNAMA-XINHUA