JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengingatkan seluruh pucuk kepemimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), terutama anggota tentera darat bahawa peralatan dan persenjataan terkini adalah amat penting.
Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa perkara itu perlu menjadi keutamaan kerajaan demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terjamin.
“Perlu kita sama-sama ingat apabila sesuatu ancaman oleh musuh dengan teknologi baharu, maka secara (tidak) langsung ia akan menimbulkan cabaran terhadap keamanan dan keselamatan negara.
“(Justeru), sentiasa buat kajian berkenaan teknologi dan senjata baharu di dunia. Jangan lupa apabila sesuatu berlaku di luar jangkaan, kita sepatutnya sentiasa bersiap sedia dan pasukan Gerak Khas adalah ‘tip of the spear’ yang akan ‘operate behind the enemy lines’,” titahnya pada majlis upacara Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-59 di Kem Iskandar, Mersing dekat sini hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Tunku Mahkota Ismail berangkat ke upacara berkenaan sebagai wakil rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas (GGK).
Berangkat sama, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim.
Pada masa sama, Tunku Mahkota Ismail turut bertitah bahawa pasukan Gerak Khas perlu sentiasa memelihara disiplin tinggi dan berpegang teguh kepada sumpah perajurit komando.
“Semua lapisan kepemimpinan Rejimen Gerak Khas perlu memainkan peranan penting dalam menjaga disiplin setiap anggota di bawah pimpinan masing-masing.
“Sikap taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Ibrahim sebagai Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas serta pasukan perlu kukuh serta kekal selama-lamanya,” titah baginda.– BERNAMA