KUALA LUMPUR: UMNO dan Pakatan Harapan (PH) mendesak Perikatan Nasional (PN) dan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memohon maaf secara rasmi dan terbuka berhubung ucapan yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.
Mereka menzahirkan rasa kecewa atas ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu, berhubung peranan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16, dalam melantik Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, menegaskan permohonan maaf itu wajar dilakukan bagi memulihkan kesangsian dan keraguan yang dicetuskan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong.
“Kenyataan yang dibuat Tan Sri jelas mencetuskan persepsi negatif dan kesangsian terhadap kebolehan dan keupayaan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara, yang mana kuasanya diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut Perkara 40(2) dan Perkara 43(2).
“Pemuda UMNO menjunjung kasih ke di atas titah tegas Tengku Mahkota Pahang (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah) supaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat mengambil tindakan yang tegas terhadap keterlanjuran yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Susulan itu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Al-Sultan Abdullah ketika menjalankan tugas itu.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan Muhyiddin akan dipanggil memberi keterangan esok, berhubung ucapan beliau itu, yang didakwa menyentuh isu 3R.
Bagaimanapun, Muhyiddin dalam kenyataannya, hari ini, mempertahankan ucapan berkenaan, yang disifatkan sebagai fakta dan tidak bermaksud menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut serta percaya, ia tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.
Pada masa sama, Dr Akmal turut mempersoalkan pendirian pimpinan PN, yang terdiri daripada PAS, BERSATU dan GERAKAN dalam isu berkenaan.
“Adakah kenyataan Tan Sri Muhyiddin konsensus dan mewakili mereka semua?” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan PH Pahang, Fuziah Salleh, mahu siasatan terperinci dan tegas dibuat terhadap Muhyiddin dan menggesa beliau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak Istana Pahang atas keterlanjuran kata-katanya itu.
“Kami dukacita dan terkilan dengan ucapan itu, yang membawa maksud seolah-olah pelantikan Perdana Menteri ke-10 dibuat tanpa menurut Perlembagaan dan undang-undang sedia ada, sedangkan Yang di-Pertuan Agong melakukan segala tindakan berpandukan kepada undang-undang negara serta meminta pandangan pelbagai pihak, termasuk Majlis Raja-Raja Melayu melalui satu persidangan khas bagi membincangkan perkara itu,” katanya.
Fuziah berkata, pihaknya turut mendesak kepemimpinan Ketua Pembangkang dalam DUN Pahang yang diketuai Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mengambil satu pendirian tegas, sama ada menyebelahi dan membela pihak Istana Pahang atau sebaliknya.
“Perkara ini membabitkan air muka dan maruah rakyat Pahang yang sentiasa menjunjung titah baginda Sultan yang menjadi payung negeri,” katanya.