DUBAI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi negara kedua yang menerima duta Afghanistan, selepas China.
Negara Teluk yang kaya dengan minyak itu berkata, mereka komited untuk ‘membina jambatan’ untuk membantu rakyat Afghanistan, selepas Kementerian Luar Negeri Kabul di media sosial mengumumkan duta baharu Mawlawi Badruddin Haqqani diterima dalam satu majlis di Abu Dhabi.
Hubungan UAE yang semakin meningkat dengan kerajaan Taliban termasuk dalam pengurusan lapangan terbang Afghanistan oleh firma Emirati, GAAC, selepas Amerika Syarikat (AS) menarik diri dan mengembalikan kuasa Taliban pada 2021.
Penerimaan duta itu dilihat sebagai kemenangan oleh pihak berkuasa Taliban, yang sebahagian besarnya masih terpencil di peringkat antarabangsa dan tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana menafikan akses kanak-kanak perempuan kepada pendidikan menengah.
“Dunia mengiktiraf cabaran yang dihadapi oleh Afghanistan sejak beberapa tahun lalu.
“Keputusan untuk menerima tauliah duta Afghanistan menegaskan semula keazaman kami untuk menyumbang kepada kewujudan jambatan untuk membantu rakyat Afghanistan,” kata seorang pegawai Emirati dalam satu kenyataan yang dihantar kepada AFP, semalam.
Kenyataan itu menyatakan, UAE merancang untuk menyediakan ‘bantuan kemanusiaan melalui projek pembangunan dan pembinaan semula’ dan menyokong usaha ke arah ‘penyahskalaan dan kestabilan serantau’.
UAE adalah satu daripada hanya tiga negara bersama Pakistan dan Arab Saudi yang mengiktiraf kerajaan Taliban yang sebelum ini digulingkan oleh AS pada 2001.
Negara itu menjadi salah satu daripada beberapa negara yang menjadi tuan rumah kehadiran diplomatik oleh Taliban, termasuk Iran, Pakistan, Uzbekistan, Turkmenistan dan Kazakhstan.
Nicaragua melantik duta bukan pemastautin ke Afghanistan pada Jun lalu.
Minggu lalu, Presiden Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan juga melawat Perdana Menteri Afghanistan ketika beliau menerima rawatan di hospital Emirati.
Pada Jun lalu, presiden UAE menjadi tuan rumah kepada Menteri Dalam Negeri Afghanistan, Sirajuddin Haqqani, yang dikehendaki oleh pihak berkuasa AS dengan ganjaran AS$10 juta (RM43.7 juta) untuk penahanannya. – AFP