757 projek rumah sakit dipulihkan sejak Disember 2022

SEPANG: Sebanyak 231 projek perumahan swasta dikategorikan lewat, selain 382 projek sakit dan 114 projek terbengkalai direkodkan sehingga bulan lalu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM147.28 bilion.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata sejak Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) ditubuhkan 30 Disember 2022, sebanyak 757 projek dipulihkan membabitkan 89,165 unit rumah dengan GDV RM63.27 bilion.

Beliau berkata, pencapaian TFST bagi tempoh awal tahun ini sehingga akhir bulan lalu membabitkan 305 projek iaitu 35,468 unit perumahan swasta berjaya dipulihkan dengan GDV RM23.46 bilion.

Katanya, jumlah projek yang berjaya dipulihkan ini merangkumi 286 projek yang mendapat Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Sebanyak 14 projek berstatus lewat kembali lancar manakala lima projek terbengkalai berjaya dipulihkan melalui kaedah penyiapan projek sehingga memperoleh CCC dan Sijil Kelayakan Menduduki (CFO),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan lawatan tapak Task Force KPKT ke projek perumahan swasta terbengkalai di Taman Desa Anjung Putra, di sini, hari ini.

Taman Desa Anjung Putra disahkan terbengkalai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Februari 2022 dan diambil alih Amanahraya Development Sdn Bhd membabitkan 18 unit rumah sesebuah dua tingkat yang dijual bermula RM567,000 hingga RM1.2 juta.

ADVERTISING

Tarikh perjanjian jual beli pertama projek pada 24 Disember 2010 dan sepatutnya disiapkan pada Disember 2012.

Ketika projek disahkan terbengkalai, kemajuan projek mencapai 97.5 peratus dan pemaju tidak berjaya memperoleh CCC dalam tempoh ditetapkan kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan agensi teknikal dan Majlis Perbandaran Sepang.

Dalam pada itu, TFST sedang menjalankan siasatan dan semakan dengan pihak berkuasa tempatan berhubung aduan pembeli tidak menerima unit rumah masing-masing atau menerima bayaran deposit serta pampasan yang dijanjikan pihak pemaju.

Aiman Athirah berkata isu itu membabitkan beberapa projek yang dikeluarkan daripada senarai projek terbengkalai namun masih tidak diselesaikan sepenuhnya.

Menurutnya, pihak pelikuidasi akan mengadakan lawatan tapak bagi melihat isu sebenar yang dibangkitkan bagi mendapatkan pengesahan status terkini projek.

Katanya, ia bagi melaksanakan pertimbangan lanjut sebelum projek terbabit dimasukkan semula dalam statistik projek terbengkalai.

Sehingga 31 Julai lalu, Selangor merekodkan 90 projek sakit, manakala Perak dan Pahang masing-masing 59 projek, Kelantan (40) dan Johor (37).