SEOUL: Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol hari ini, mengarahkan pihak berkuasa menyiasat secara tuntas terhadap jenayah seks digital di negara itu.
Arahan itu dibuat pemimpin negara terbabit selepas media mendedahkan penyebaran imej dan video palsu seksual membabitkan wanita Korea Selatan di media sosial, Telegram.
“Ia adalah eksploitasi terhadap teknologi dengan berselindung di sebalik kerahsiaan. Ini satu tindakan jenayah yang jelas,” katanya selepas mesyuarat Kabinet.
Yoon bagaimanapun tidak menyebut penyebaran video palsu itu secara spesifik melalui Telegram.
Laporan media tempatan sejak beberapa hari lalu itu, selari dengan penahanan pengasas Telegram kelahiran Russia, Pavel Durov, hujung minggu lalu bagi membantu siasatan pihak berkuasa Perancis terhadap pornografi kanak-kanak, pengedaran dadah dan penipuan melalui aplikasi itu.
Susulan arahan terbabit, pengawal selia media negara itu, Suruhanjaya Piawaian Komunikasi Korea, berhasrat mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah untuk menangani jenayah pemalsuan (deepfake) seksual.
Menurut polis, jenayah seks dalam talian membabitkan video ‘deepfake’ dilaporkan meningkat di Korea Selatan dengan 297 kes dilaporkan hanya dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Katanya, ia jelas meningkat daripada 180 tahun lalu dan hampir dua kali ganda sejak data dikumpulkan pada 2021.
“Kebanyakan tertuduh adalah dalam kalangan remaja dan berusia lingkungan 20-an,” katanya.
Laporan media tempatan termasuk satu analisis oleh akhbar Hankyoreh yang mendedahkan berlakunya perkongsian ‘deepfake’ membabitkan pelajar wanita di sekolah dan universiti di Telegram.
Sehubungan itu, kesatuan guru dan kakitangan pendidikan Korea mendesak Kementerian Pendidikan untuk menyiasat perkara berkenaan.
Sementara itu, Pusat Sokongan Bictim Penderaan Seksual Tentera turut mendedahkan jenayah sama menyasarkan anggota tentera wanita di ruang sembang Telegram.
Reputasi Telegram tercalar sejak beberapa tahun lalu di Korea Selatan selepas jenayah peras ugut didalangi kumpulan penjenayah menggunakan media sosial itu.
Pada 2020, ketua kumpulan itu, Cho Ju-bin, dijatuhi hukuman penjara 40 tahun kerana memeras ugut sekurang-kurangnya 74 wanita, termasuk 16 remaja membabitkan imej seksual mereka.
Sementara itu, Telegram belum memberikan maklum balas ketika ditanya berhubung perkara berkenaan. – REUTERS