Status ‘bidan terjun’ tidak gentarkan Pau Marti

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente tidak gusar sekalipun tampak menjadi ‘bidan terjun’ untuk menggantikan Kim Pan Gon yang melepaskan jawatannya berkuatkuasa serta-merta, bulan lalu.

Jurulatih dari Sepanyol itu mengakui Pan Gon sudah meletakkan ‘batu asas’ yang kukuh dalam pembinaan skuad kebangsaan sekali gus memudahkannya meneruskan kesinambungan itu dalam membentuk pasukan yang mantap bagi menghadapi Pestabola Merdeka.

Namun Pau Marti menegaskan dia tetap memiliki strategi sendiri bagi memastikan pemain sentiasa dapat memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan diharungi.

“Saya sudah berada di sini lebih dua tahun dan kita sudah mempunyai sistem yang sudah diletakkan. Kebanyakan barisan kejurulatihan juga masih sama dan ada penambahan dengan kehadiran Juan Torres Garrido sebagai pembantu jurulatih.

“Sudah tentu setiap jurulatih ada idea dan metodologi tersendiri untuk menilai pemain dan lihat bagaimana untuk mendapatkan yang terbaik daripada mereka.

“Saya tidak boleh berkongsi taktik atau perancangan tetapi perkara ini sering dibincangkan antara barisan kejurulatihan dan juga pemain,” katanya.

Sebagai rekod, Pau Marti akan memulakan kem latihan pusat di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya Khamis ini selepas memanggil 26 pemain untuk mengharungi Pestabola Merdeka pada bulan depan.

Bagi aksi Pestabola Merdeka nanti, skuad negara akan berdepan Filipina untuk aksi pertama pada 4 September manakala satu lagi aksi akan menampilkan pertembungan antara Lubnan dan juara bertahan, Tajikistan juga pada tarikh sama.

Pemenang kedua-dua perlawanan itu akan berentap di final selepas pasukan yang tewas akan mengharungi aksi penentuan tempat ketiga pada 8 September.