Tatu nama ibu jadi kenangan- anak mangsa tanah jerlus

KUALA LUMPUR: “Saya terkilan sebab ibu tidak sempat lihat tatu yang saya buat di tangan khas untuknya,” itu luahan anak kepada mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India dekat sini yang masih belum ditemui masuk hari kelima operasi mencari dan menyelamat (SAR).

M Suria, 25, yang dalam keadaan sugul berkongsi kepada Bernama bahawa tatu nama ibunya Vijayaletchumy dicacah pada lengan kiri ketika percutiannya di Thailand baru-baru ini.

“Ibu segalanya untuk saya, apa juga saya lakukan semua untuknya…sebab itu bila saya cacah tatu di tangan ini, nama beliau adalah pertama yang terlintas di fikiran saya.

“Tapi saya tak sangka ini yang terjadi… Saya tak sempat tunjuk betapa sayangnya saya pada ibu,” katanya dalam bahasa Telegu yang diterjemahkan oleh rakan penulis.

Suria berkata kali terakhir beliau bercakap dengan ibunya adalah pada awal pagi hari kejadian.

“Saya hubungi dia pukul 1.30 pagi pada hari kejadian dan beritahu saya mencacah tatu nama dia…ibu sangat gembira dan saya dapat rasakan nada gembira melalui suaranya itu.

“Pada pagi sebelum ibu jatuh, dia ada menghubungi saya, tetapi disebabkan telefon saya kehabisan bateri saya tidak dapat bercakap dengannya,” katanya.

Beliau berkata kejadian yang menimpa ibunya berusia 48 tahun itu hanya diketahui selepas dimaklumkan abang ipar pada pagi Jumaat lalu.

Sejurus mendapat maklumat itu, Suria terus bergegas masuk ke negara ini dari Thailand melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam di Kedah dan menempuh lebih 476 kilometer untuk ke ibu negara.

“Saya tidak berfikir panjang dan mengambil pengangkutan e-panggilan dari Changlun, Kedah ke Kuala Lumpur yang menelan kos RM600,” katanya.

Menurut Suria, beliau dan keluarga berharap jasad ibunya ditemukan segera dan mahu disemadikan di kampung mereka di Kuppam, Andhra, India.

“Saya tidak mahu ibu terseksa, sudah lima hari kejadian dan kami sudah reda,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati Suria dan bapanya serta beberapa ahli keluarga sering berada di lokasi kejadian bagi mengetahui perkembangan pencarian.

Pada Jumaat lalu, wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan di kawasan berkenaan untuk ke sebuah kuil berhampiran sebelum kejadian.