Remaja lelaki Orang Asli dituduh bunuh Nuraina Humaira

SUNGAI SIPUT – Seorang remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas pertuduhan membunuh kanak-kanak perempuan Orang Asli berumur 10 tahun di Pos Kuala Mu, 16 Ogos lalu.

Tertuduh berusia 17 tahun itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, remaja lelaki berkenaan didakwa melakukan bunuh terhadap Nuraina Humaira di kawasan berpaya Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Lasah di sini 16 Ogos lalu antara jam 2.30 hingga 5 petang.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Selain itu, tertuduh turut ditahan penjara selama mana diperkenan di bawah Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Timbalan Pendakwa Raya, R S Vitthiyeswary memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan bagi mendapatkan laporan kimia, asid deoksiribonukleik (DNA), laporan patologi dan laporan prestasi pelajar.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Oktober depan sebagai sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan-laporan tersebut.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan, mangsa, Nuraina Humaira yang dilaporkan hilang pada 16 Ogos lalu ditemukan maut keesokan hari dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya dekat perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di sini. – MalaysiaGazette

Source :