Pengeboman Israel bunuh puluhan di Gaza

KAHERAH: Sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh di Semenanjung Gaza akibat serangan Israel, hari ini.

Pertempuan berlaku menjelang permulaan kempen vaksinasi polio oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada kira-kira 640,000 kanak-kanak di wilayah itu.

Pemberian vaksin bergantung pada jeda selama lapan jam setiap hari dalam pertempuran antara tentera Israel dan hamas di kawasan tertentu.

Timbalan Menteri Kesihatan Gaza, Yousef Abu Al-Reesh berkata, pasukan vaksinasi akan memastikan liputan meluas.

Bagaimanapun, katanya, hanya gencatan senjata menyeluruh dapat menjamin bilangan kanak-kanak yang mencukupi dapat dicapai.

“Jika masyarakat antarabangsa benar-benar mahu kempen ini berjaya, mereka harus menyeru kepada gencatan senjata, kerana virus ini tidak berhenti dan boleh merebak ke mana-mana,” katanya.

Hari ini, petugas perubatan memberikan vaksin kepada beberapa kanak-kanak di wad Hospital Nasser sebagai satu langkah simbolik sebelum kempen rasmi bermula.

Kempen ini diadakan susulan pengesahan minggu lalu bahawa seorang bayi lumpuh akibat virus polio, kes pertama seumpamanya di wilayah itu dalam tempoh 25 tahun.

Pegawai WHO berkata sekurang-kurangnya 90 peratus kanak-kanak perlu divaksin sebanyak dua kali.

Orang ramai memeriksa kereta yang terbakar akibat serangan Israel di bandar kecil Zababdeh, tenggara Jenin di Tebing Barat. - Foto AFP
Orang ramai memeriksa kereta yang terbakar akibat serangan Israel di bandar kecil Zababdeh, tenggara Jenin di Tebing Barat. – Foto AFP

Sementara itu, lebih 30 orang lagi terbunuh dalam siri serangan di kawasan lain di Gaza.

Penduduk dan sumber berkata, pejuang Hamas, Jihad Islam, dan kumpulan lain bertempur dengan tentera Israel di kawasan Zeitoun di utara Gaza, di mana kereta kebal beroperasi selama beberapa hari, dan di Rafah, berhampiran sempadan Mesir.

Tentera Israel berkata, ia terus beroperasi di tengah dan selatan Jalur Gaza.

Katanya, tentera membunuh pejuang dan membongkar infrastruktur ketenteraan di Bandar Gaza, sementara mereka mengesan senjata dan membunuh lelaki bersenjata di Tel Al-Sultan di barat Rafah.

Di Khan Younis, orang ramai kembali ke kawasan mereka selepas tentera menamatkan serangan selama 22 hari yang dikatakan bertujuan untuk menghalang Hamas daripada berkumpul semula.

Rakaman menunjukkan kawasan yang luas diratakan dan bangunan serta infrastruktur musnah.

Petugas perubatan berkata mereka menemui sekurang-kurangnya sembilan mayat dari kawasan di mana tentera beroperasi.

Serangan Israel ke atas wilayah yang diperintah oleh Hamas sejak 7 Oktober lalu membunuh lebih daripada 40,600 rakyat Palestin.

Hampir keseluruhan penduduk Gaza seramai 2.3 juta orang dipindahkan dan wilayah itu menghadapi krisis kebuluran.

Israel berdepan tuduhan pembunuhan beramai-ramai yang dinafikannya manakala di Tebing Barat, tentera Israel meneruskan operasi ketenteraan di bandar Jenin.

Dron dan helikopter berlegar di udara sementara bunyi tembakan kedengaran di bandar tersebut. – REUTERS