Fadillah ketuai delegasi Malaysia ke ISF Jakarta

Timbalan Perdana Menteri Fadillah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Jakarta, Indonesia dalam rangka lawatan kerja rasmi bermula esok hingga Jumaat sempena Forum Kelestarian Indonesia (ISF), 2024. – Gambar fail Bernama

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke Jakarta, Indonesia dalam rangka lawatan kerja rasmi bermula esok hingga Jumaat (6 Sept) sempena Forum Kelestarian Indonesia (ISF), 2024.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dijangka menyampaikan ucaptama di ISF atas jemputan kerajaan Indonesia dan kehadirannya bakal memperkukuhkan imej serta peranan Malaysia dalam agenda kelestarian dan kemampanan di peringkat antarabangsa.

Ia terutamanya dalam visi peralihan tenaga selain menggambarkan komitmen berterusan Malaysia dalam mencapai agenda pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pendirian Malaysia berhubung agenda kemampanan dan kelestarian dalam mitigasi iklim melalui pelbagai inisiatif adalah penting untuk diketengahkan di forum antarabangsa seperti ISF 2024.

“Selain itu, ia turut menunjukkan ketersediaan Malaysia dalam melaksanakan peralihan secara lestari kepada pelabur asing agar boleh meningkatkan keyakinan mereka untuk membuat pelaburan di Malaysia sekali gus mendorong pelabur menyempurnakan agenda kemampanan serta matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” menurut PETRA.

Fadillah juga dijangka membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Koordinasi Bidang Kemaritiman dan Investasi Republik Indonesia, Luhut Binsar Pandjaitan selain dijadual bertemu diaspora Malaysia di Jakarta bagi berkongsi mengenai usaha dan inisiatif pembangunan terkini negara dalam aspek peralihan tenaga.

Source :
BERNAMA