BANTING: UMNO tidak menolak kemungkinan mengetengahkan calon wanita untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata perkara itu akan dimuktamadkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak lama lagi.
Johari yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan berkata, calon yang akan mewakili gabungan itu dijangka diumumkan Menteri Besar Johor merangkap Pengarah PRK DUN Mahkota, Datuk Onn Hafiz, minggu hadapan.
“Kita maklum kawasan ini dahulu (diwakili) Wanita, jadi Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN (Ahmad Zahid) akan buat keputusan mengenainya.
“Ada dua, tiga nama sudah diserahkan tetapi saya tidak mahu mengulas lanjut mengenainya. Biarkan Pengerusi BN atau Pengerusi BN Johor yang umumkan nanti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi melancarkan teknologi rawatan efluen kilang kelapa sawit (POME) yang dikenali sebagai RT-Eco.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Allahyarham yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merampas kembali DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH), dengan majoriti 5,166 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac 2022.
DUN Mahkota mempunyai 66,318 orang pemilih merangkumi 61,397 pengundi biasa dan 4,510 tentera serta pasangan, 401 anggota polis dan 10 pengundi luar negara.
Komposisi kaum membabitkan pengundi Melayu sebanyak 54 peratus atau seramai 35,835 orang, pengundi Cina mewakili 34 peratus membabitkan seramai 22,561 orang manakala pengundi India pula lapan peratus dengan 5,305 orang.
Johari yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, UMNO sudah melakukan persiapan menghadapi PRK berkenaan dan akan bekerja kuat bagi memastikan kemenangan.
“Dalam politik negara ketika ini, tiada kerusi dianggap selamat. Dinamik politik negara sudah berubah, tiada mana-mana parti ambil mudah mengenai soal kemenangan (pada pilihan raya).
“Anda ada majoriti besar, kecil atau sederhana sekali pun tiada siapa yang boleh memberi jaminan untuk memenangi semula sesebuah kerusi ditandingi dengan majoriti undi yang sama.
“Ia (majoriti) boleh naik atau turun, justeru paling utama ialah menumpukan sepenuh perhatian kepada kempen (PRK DUN Mahkota), seolah-olah ini adalah pilihan raya yang baharu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.