SHAH ALAM: Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) dan Utiliti Infra Darul Aman (UiDA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi berkongsi serta bertukar kepakaran, teknologi, jaringan perkhidmatan dan khidmat nasihat berhubung pengurusan utiliti negeri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata setiap negeri berdepan isu sama berkait pengurusan utiliti dan akhirnya berdepan kos pembangunan yang besar.
“Pengalaman kita di Selangor lebih rumit kerana kita sudah ada kawasan tepu bina. Walaupun kita (KUSEL) sudah mula awal (tiga tahun lalu), kita kena belajar antara satu sama lain.
“Di Kedah, kawasan seperti Sungai Petani dan Alor Setar, iaitu tempat yang maju akan berdepan masalah sama (tepu bina). Sebab itu, perlu ada perkongsian pengalaman,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU antara KUSEL dengan UiDA, di sini, semalam.
MoU itu ditandatangani Pengarah Urusan KUSEL, Khairul Azmi Misran, dan Ketua Pegawai Eksekutif UiDA, Ahmad Taufik Radzi, dengan disaksikan Amirudin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerjasama bersejarah itu membuktikan kedua-dua negeri mampu bergerak matang tanpa menjadikan perbezaan politik sebagai alasan, demi kepentingan rakyat.
Sementara itu, Muhammad Sanusi pula memaklumkan kerjasama berkenaan penting untuk pembangunan infrastruktur di Kedah, selain menjimatkan kos pembinaan dan memastikan projek-projek sedemikian siap mengikut waktu ditetapkan.
“Masa lukisan (pelan) dibuat untuk kerja jajaran paip, masih ada rizab jalan. Apabila kita ke tapak sebenar, ia sudah masuk ke sungai dan ada juga di terusan sawah padi. Jadi, kerja tertangguh bertahun-tahun.
“Justeru, penting untuk kita membuat pemetaan dan data yang lengkap. Sebab itu, saya datang belajar di negeri paling ‘tough’,” katanya.