Vicente akui Filipina lawan yang sukar

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengakui Filipina memberikan aksi yang sukar dan tentangan hebat pada aksi Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Justeru, pengendali dari Sepanyol itu menyifatkan anak buahnya layak untuk memenangi aksi terbabit sekali gus mara ke final selepas memperagakan kebangkitan menerusi jaringan pada setiap babak sebelum meraih kemenangan 2-1.

“Kita menderita dalam 10 minit terakhir kerana Filipina adalah pasukan yang kuat dan memiliki fizikal. Tetapi kita harus berfikiran positif apabila kita berjaya mara ke final.

“Jaringan awal Filipina itu menyedarkan diri dan kita melakukan pendekatan berbeza namun pemain dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Kita dapat mengawal permainan dan melakar keputusan yang bagus.

Pemain Malaysia, Muhammad Safawi Rasid meraikan jaringannya pada perlawanan separuh akhir Pesta Bola Merdeka 2024, Malaysia menentang Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Foto: BERNAMA
Pemain Malaysia, Muhammad Safawi Rasid meraikan jaringannya pada perlawanan separuh akhir Pesta Bola Merdeka 2024, Malaysia menentang Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Foto: BERNAMA

“Pemain mengikuti apa yang kita lakukan pada sesi latihan, jadi saya gembira dengan persembahan mereka,” katanya.

Terdahulu, skuad negara mengesahkan slot ke final Pestabola Merdeka 2024 selepas bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Meskipun Filipina mendahului selepas percubaan Jefferson Tabinas terbias kaki Feroz Baharudin namun jaringan Syamer Kutty Abba dan sepakan penalti Safawi Rasid pada setiap babak membolehkan skuad negara menang 2-1.

Mereka akan berentap dengan Lubnan di final Pestabola Merdeka 2024, Ahad ini selepas Lubnan menyingkirkan juara bertahan, Tajikistan 1-0.