Bayi bertali pusat ditemui belakang rumah

MACHANG: Bayi lelaki yang masih bernafas serta bertali pusat ditemui di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Bedal, Temangan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 10.45 pagi.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek yang berusia 20-an iaitu ibu kepada bayi berkenaan adalah anak angkat kepada pengadu.

“Pengadu memaklumkan, semalam suspek hanya berbaring seharian di atas katil dengan alasan darah haidnya keluar banyak dan dalam kesakitan.

“Namun, suspek akhirnya mengaku bahawa bayi berkenaan adalah anak yang baharu dilahirkannya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Ahmad Shafiki berkata, bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi,” katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan terhadap kes ini selesai dijalankan.