BEIRUT: Hizbullah mendakwa kumpulan itu melancarkan satu serangan roket menyasarkan sebuah bandar di utara Israel awal pagi ini.
Menurut kumpulan itu, tindakan itu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel, yang menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, membunuh tiga anggota pertahanan awam di selatan negara itu.
“Sebagai membalas serangan musuh, khususnya serangan yang membunuh petugas kecemasan di Froun, dekat selatan Lubnan pada Sabtu, pejuang Hizbullah mengebom Kiryat Shmona dengan rangkaian roket Falaq,” lapor AFP memetik kenyataan kumpulan disokong Iran itu.
Sementara itu, memetik laporan REUTERS, tiga paramedik Lubnan terbunuh manakala dua lagi cedera dan seorang kritikal dalam serangan Israel, semasa petugas perubatan itu memadamkan kebakaran di Froun.
Kementerian Kesihatan Lubnan mengesahkan tentera Israel menyasarkan sepasukan anggota pertahanan awam Lubnan semasa mereka sedang bertugas memadamkan kebakaran berpunca serangan udara Israel baru-baru ini.
Ekoran itu, pihak kementerian mengecam tindakan rejim Zionis sebagai serangan yang jelas menyasarkan badan rasmi Lubnan.
Ia menjadikan serangan kedua didalangi tentera rejim Zionis terhadap pasukan kecemasan negara itu dalam tempoh kurang 12 jam.
“Setakat ini, disebabkan pencerobohan Israel… seramai 25 paramedik dari pelbagai pasukan ambulans terbunuh bersama dua pekerja kesihatan.
“Seramai 94 paramedik lain serta petugas kesihatan mengalami kecederaan,” katanya sambil mengesahkan serangan membedil trak bomba.
Menurut tentera Israel, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) awal hari ini melancarkan serangan bertujuan menyerang dan menghapuskan pengganas yang beroperasi dalam struktur ketenteraan Hezbollah di kawasan Froun dekat selatan Lubnan.
Sementara itu, Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati, mengutuk serangan itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa lantas mengumumkan mesyuarat kecemasan esok, bersama duta negara Barat dan pertubuhan antarabangsa bagi menangani permusuhan berterusan.
Sekitar 140 orang awam terbunuh akibat pengeboman Israel di Lubnan sejak 8 Oktober, apabila permusuhan tercetus antara tentera rejim Zionis dan Hezbollah seiring perang di Gaza.
Kehilangan nyawa akibat pertempuran antara Israel dan Hezbollah semakin rancak, mengakibatkan puluhan ribu penduduk di sempadan Lubnan-Israel terpaksa berpindah. – AGENSI