Serangan Israel membunuh pegawai kanan perkhidmatan penyelamat di Gaza

KAHERAH: Timbalan Pengarah Perkhidmatan Kecemasan Awam Gaza di kawasan utara Semenanjung Gaza termasuk empat keluarganya terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di Jabalia, hari ini.

Perkhidmatan Kecemasan Awam dalam satu kenyataan berkata, kematian Mohammad Morsi menjadikan sejumlah 83 orang anggotanya terbunuh akibat tembakan Israel sejak 7 Oktober 2023.

Bagaimanapun, tentera Israel enggan mengulas lanjut mengenai kematian Morsi.

Sementara itu, penduduk berkata, tentera Israel juga meletupkan beberapa rumah di pinggir bandar Zeitoun iaitu lima kilometer dari Jabalia.

“Kami mendengar pengeboman berterusan di Zeitoun, tentera Israel meletupkan rumah di sana dan kami tidak tidur kerana bunyi letupan, deruan kereta kebal dan dron tidak berhenti.

“Zionis sedang menghapuskan Zeitoun, kami takut memikirkan orang yang terperangkap di sana,” katanya yang enggan dikenali.

Dalam pada itu, pasukan perubatan juga dilaporkan tidak dapat menjawab panggilan telefon mangsa yang terperangkap di dalam serangan itu.

Israel dan Hamas terus menyalahkan satu sama lain selepas usaha rundingan gencatan senjata oleh pengantara termasuk Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) gagal.

Bagaimanapun AS bersedia untuk membentangkan cadangan baharu, tetapi prospek kejayaan kelihatan malap kerana jurang antara kedudukan kedua-dua pihak kekal besar.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetap meneruskan kerjasama pihak berkuasa kesihatan tempatan, melanjutkan kempen untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak di selatan Semenanjung Gaza terhadap polio sebelum ia bergerak pada ke utara, esok.

Kempen itu bertujuan untuk memberi vaksin kepada 640,000 kanak-kanak di Gaza selepas kes polio pertama dalam tempoh 25 tahun.

Pegawai PBB berkata, lebih separuh daripada kanak-kanak sudah diberikan vaksin dalam dua peringkat pertama di selatan dan tengah Semenanjung Gaza sebelum pusingan kedua dilakukan. – REUTERS