Dua beranak antara yang maut nahas tiga kenderaan di Jengka

KUANTAN – Seorang lagi mangsa terbabit dalam kemalangan tiga buah kenderaan di Maran, pagi tadi, dilaporkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 8.19 pagi di kilometer 34 Jalan Maran-Bandar Jengka, Maran.

Beliau berkata, kejadian melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dinaiki dua beranak dari arah Bandar Jengka ke Bandar Maran serta MPV jenis Toyota Avanza yang dinaiki empat individu dari arah bertentangan.

“Bagaimanapun, setiba di lokasi kejadian, Toyota Avanza dipandu lelaki berusia 28 tahun bersama penumpang terdiri daripada tiga orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 2 masing-masing berusia 13 tahun, dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza itu,” katanya dalam kenyataan.

Tidak lama kemudian, kereta Perodua Myvi juga dari arah Bandar Jengka tidak sempat mengelak dan melanggar Avanza tersebut yang sedang melintang di tengah jalan.

Akibat daripada kejadian tersebut, pemandu Perodua Alza, Noraini Ali, 42 dan Nik Nurien Haziqah Nik Ibrahim, 13 tahun yang merupakan penumpang hadapan Toyota Avanza telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, seorang lagi mangsa, Aufa Medina Azuan, 7, yang merupakan anak kepada Noraini Ali turut disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Jengka 2.

“Pemandu Perodua Myvi yang merupakan seorang guru sekolah berusia 34 tahun dan penumpang belakang kanan Toyota Avanza merupakan pelajar berusia 13 tahun mengalami kecederaan sedang dirawat di Hospital Jengka.

“Manakala pemandu Toyota Avanza dan penumpang belakang bahagian kirinya yang mengalami kecederaan parah masing-masing di kaki dan kepala diberikan rawatan lanjut di Hospital Temerloh,” katanya,

Jelas Mohamad Zamri, hasil siasatan awal mendapati nahas berpunca daripada kecuaian pemandu Toyota Avanza yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu seramai lapan anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka dikejarkan ke lokasi dan mengeluarkan mangsa menggunakan perlatan menyelamat. – MalaysiaGazette

Source :