Anak terkejut jumpa rangka bapa dalam pangsapuri

KUALA LUMPUR – Polis hari ini telah mengesahkan pihaknya telah menerima laporan penemuan rangka manusia di dalam sebuah unit rumah pangsapuri di Kepong di sini pada 5 September lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, rangka manusia itu adalah milik seorang pesara lelaki tempatan berusia 79 tahun.

“Pada hari kejadian, pengadu yang juga anak mangsa telah pergi ke kediaman tersebut untuk bertemu dengan ayahnya.

“Apabila sampai di rumah, pengadu mendapati pintu rumah dalam keadaan berkunci dan selepas memecah masuk, pengadu terkejut melihat ayahnya telah meninggal dunia dalam keadaan hanya tinggal rangka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Sukarno, siasatan awal mendapati mangsa telah tinggal berseorangan selepas bercerai dengan isterinya.

“Kali terakhir pengadu menghubungi ayahnya adalah pada tahun 2020. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan berapa lama lelaki itu sudah meninggal dunia dan rangka tersebut telah diserahkan kepada ahli keluarga untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Rekod kesihatan mangsa menunjukkan dia mempunyai penyakit darah tinggi dan pernah diserang strok.

“Kes telah diklasifikasikan sebagai mati secara mengejut,” kata beliau lagi. – MalaysiaGazette

Source :