Taska kes bayi dipercayai dibunuh pengasuh ditutup

MELAKA – Taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah yang menyaksikan seorang bayi lelaki berusia lapan bulan maut dipercayai dibunuh pengasuhnya Jumaat lalu sudah dikenakan tindakan lak (tutup) berkuatkuasa semalam.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Halyjah Muhammad berkata, seramai tiga pegawai penyiasat dan lima anggota pasukan lak memulakan operasi penutupan pada pukul 3 petang.

“Pasukan LAK telah menyerahkan Notis Pemberitahuan Tindakan Lak berkuatkuasa semalam dan ditandatangani oleh pengusaha Taska sendiri.

“Notis Pemberitahuan Tindakan Lak juga telah ditampal dipintu masuk dan kawasan sekitar premis Taska,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sabtu lalu, MalaysiaGazette melaporkan Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin mengesahkan Taska berkenaan tidak berdaftar dengan JKM dan masih dalam proses mendapatkan surat sokongan pendaftaran.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi Jumaat lalu, Muhammad Al Fateh Amri yang berusia lapan bulan meninggal dunia selepas pengasuhnya didakwa membedung, menyumbat botol susu menutup dengan kain dan menekup muka bayi berkenaan dengan bantal.

Susulan itu, polis menahan reman pengasuh wanita berusia 34 tahun itu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. – MalaysiaGazette

Source :