Taufan Yagi: 63 maut, 40 masih hilang di Vietnam

HANOI- Sekurang-kurangnya 63 maut manakala 40 lagi masih hilang berikutan Taufan Yagi melanda utara Vietnam, baru-baru ini.

Pegawai Kementerian memberitahu, seramai 752 orang dilaporkan cedera akibat banjir dan tanah runtuh.

Sementara itu, ahli meteorologi memaklumkan, Yagi adalah taufan paling kuat melanda utara Vietnam dalam tempoh 30 tahun.

Bencana alam dengan kelajuan angin lebih 149 kilometer sejam (km/j) telah memusnahkan jambatan, menerbangkan bumbung bangunan serta merosakkan kilang.

Bahagian utara negara itu kini dilanda banjir teruk, dengan beberapa kejiranan turut ditenggelami air.

Rumah satu tingkat di beberapa kawasan di bandar Thai Nguyen dan Yen Bai hampir tenggelam sepenuhnya pada awal pagi hari ini, memaksa penduduk menunggu bantuan di bumbung rumah mereka.

Di Hanoi, penempatan penduduk di sepanjang Red River juga ditenggelami air, memaksa penduduk untuk berpindah.

Phan Thi Tuyet, 50, yang tinggal berhampiran sungai, berkata dia tidak pernah melihat paras air yang sebegitu tinggi sepanjang hayatnya.

“Saya kehilangan segala-galanya. Saya terpaksa naik ke kawasan yang lebih tinggi untuk menyelamatkan nyawa kami.

“Kami tidak boleh membawa apa-apa barang bersama kerana semuanya sudah ditenggelami air,” katanya. – AFP

Source :