GEORGETOWN: Tiga belas mangsa kerugian mencecah RM1.63 juta selepas terpedaya penipuan skim pelaburan emas tak wujud sejak tahun lalu.
Lebih teruk ada antara mereka membabitkan pesakit kanser yang menggunakan semua wang simpanan untuk melabur, namun malang berputih mata apabila semuanya lesap.
Seorang daripada mangsa yang hanya ingin dikenali Tan, 48, berkata seorang rakan memperkenalkan seorang lelaki yang menawarkan program pelaburan emas dengan kadar keuntungan lima hingga 10 peratus sebulan dan mendakwa sudah melabur RM300,000 sekitar Jun tahun lalu.
“Lelaki itu ada pejabat di Bukit Jambul dan mendakwa dirinya ‘trader’ (pedagang) emas untuk sebuah syarikat, manakala rakan itu bertindak sebagai orang tengah. Mereka juga memaklumkan ramai lagi kawan-kawan saya sertai program itu.
“Saya ajak ibu dan adik untuk sama-sama melabur dengan jumlah pelaburan dikumpul dari kami bertiga kira-kira RM300,000,” katanya kepada pemberita selepas membuat aduan di Bank Negara Malaysia (BNM) Cawangan Pulau Pinang bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, hari ini.
Ahli perniagaan itu berkata, ada antara rakannya adalah pesakit kanser turut melabur semua wang simpanan dengan harapan akan mempunyai jaminan pendapatan tetap untuk menampung kos rawatan penyakitnya dan kehidupan keluarga.
Namun, malangnya kebanyakan mangsa hanya menerima bayaran faedah selama dua bulan dan dia sendiri hanya menerima RM20,000 sebelum pihak syarikat yang menabur janji manis kepada mereka menghilangkan diri.
“Pihak syarikat memberi keyakinan bahawa mereka ada cukup rizab emas untuk bayar dividen kepada pelabur, tetapi kami syak faedah diterima itu adalah wang modal yang kami bayar semasa menyertai program itu,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang hanya ingin dikenali Yap, 40, berkata dia terpaksa menjual perniagaan perabotnya kerana tidak mampu membayar wang RM500,000 yang dipinjamnya semata-mata untuk menyertai skim pelaburan emas itu pada November lalu.
“Saya hanya dapat semula duit kira-kira RM50,000 yang dibayar pada Januari dan Februari lalu, selepas itu saya tidak dapat khabar lagi dari syarikat itu kerana mereka tidak boleh dihubungi,” katanya.
Mangsa lain, Nur Zakiah Zakaria, 40, berkata meskipun hanya kerugian RM4,000 tetapi jumlah itu dianggap besar buat dirinya yang hanya bekerja sebagai pekerja pembersihan.
“Duit itu saya kumpul sikit-sikit hasil menabung tapi satu sen pun tak dapat semula,” katanya ringkas.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata pihaknya mendapati syarikat terbabit menyasarkan individu yang mempunyai wang simpanan, selain warga emas dengan cara melakukan promosi secara bersemuka sekali gus meningkatkan keyakinan mangsa untuk mempercayai mereka.
“Kita tidak menemukan sebarang bukti ada urusan jual beli emas dilakukan dan kita mengesyaki pelaburan emas itu sebenarnya tidak wujud.
“Kami juga mendapati syarikat itu tidak mempunyai kelulusan atau lesen untuk menerima deposit daripada orang awam dan kita percaya ramai lagi mangsa dari negeri ini yang terjebak dengan skim itu,” katanya.