SHANGHAI: Penerbangan dan lebuh raya di Shanghai terpaksa ditutup berikutan Taufan Bebinca, yang disifatkan ribut terkuat dalam tempoh lebih 70 tahun, melanda hab kewangan China hari ini.
Susulan itu, penerbangan di dua lapangan terbang utama Shanghai ditangguhkan dan perkhidmatan feri serta beberapa kereta api dihentikan.
Lebuh raya terpaksa ditutup pada 1 pagi (waktu tempatan), dan had laju 40 kilometer sejam (km/j) ditetapkan di jalan raya dalam bandar.
Pentadbiran Meteorologi China berkata, taufan itu tiba awal pagi tadi di kawasan pantai Lingang New City, di Pudong di sebelah timur bandar itu.
Justeru, amaran merah dikeluarkan dan beberapa penduduk di kawasan pantai sudah dipindahkan.
Menurut laporan penyiar negeri CCTV, ia adalah ribut paling kuat melanda Shanghai sejak Taufan Gloria pada 1949.
Berikutan itu, banyak perniagaan terpaksa ditutup sempena cuti umum Festival Pertengahan Musim Luruh dan 25 juta penduduk di bandar itu dinasihatkan untuk duduk di dalam rumah saja.
Menurut pihak berkuasa, 9,000 penduduk sudah dipindahkan dari Daerah Chongming, sebuah pulau di muara Sungai Yangtze.
Rakaman dari Daerah Baoshan utara menunjukkan angin kencang menumbangkan barisan pokok di tebing sungai.
Ibu pejabat kawalan banjir Shanghai berkata, pihaknya menerima berpuluh-puluh laporan aduan berkaitan taufan, kebanyakannya pokok tumbang dan papan iklan diterbangkan angin.
Sementara itu, taufan sebelum ini iaitu Yagi, membunuh sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan 95 lagi apabila ia melalui pulau Hainan di selatan China bulan ini, menurut pihak berkuasa cuaca negara.
Bebinca juga dilaporkan sudah melalui Jepun dan kini sedang melanda tengah dan selatan Filipina, di mana pokok tumbang mengorbankan enam orang.
CCTV berkata, Bebinca dijangka bergerak ke barat laut, menyebabkan hujan lebat dan angin kencang di wilayah Jiangsu, Zhejiang dan Anhui.
China adalah negara pelepas gas rumah hijau terbesar di dunia, yang didakwa saintis memacu perubahan iklim dan menjadikan cuaca melampau lagi ganas lebih kerap dialami. – AFP