32 maut akibat keganasan, operasi lombong emas di PNG digantung

SYDNEY: Barrick Gold menggantung operasi lombong emas Porgera miliknya di Papua New Guinea (PNG) sehingga esok susulan keganasan dikawasan berkenaan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh.

Bagi menangani krisis terbabit, kerajaan PNG memberikan kuasa kecemasan kepada polis, termasuk hak untuk menggunakan senjata api.

Ia bagi membolehkan mereka mengawal keganasan di Porgera membabitkan peneroka haram yang menceroboh kawasan berhampiran lombong emas dan pemilik tanah tempatan, lapor akhbar Post-Courier dan The National pada Ahad lalu.

Menurut seorang jurucakap, lombong emas Porgera menggantung sebahagian besar operasi sehingga esok demi melindungi pekerjanya sementara kerajaan memulihkan undang-undang dan ketenteraman awam di kawasan sekitarnya.

Tambah beliau, dua daripada pekerja lombong emas terbabit juga terbunuh akibat keganasan berkenaan.

PNG adalah kawasan kediaman bagi ratusan puak dengan pelbagai bahasa dan mempunyai sejarah panjang membabitkan peperangan antara puak.

Keganasan semakin meningkat di negara berkenaan dalam tempoh beberapa puluh tahun yang lalu dan penduduk kampung kini menukar senjata tradisi menggunakan busur dan anak panah kepada senapang tentera, manakala pilihan raya yang semakin dekat turut mencetuskan perpecahan antara puak.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kemasukan pelbagai senjata moden menyebabkan pertempuran menjadi lebih ganas.

Polis mendakwa, pertempuran terbaharu itu berpunca daripada pemilikan lebih 100 senjata berkuasa tinggi di tangan pihak yang salah.

Perdana Menteri PNG, James Marape, berkata dua pasukan polis dikerah bagi menyertai lebih 100 anggota keselamatan yang sudah berada dikawasan kejadian untuk memulihkan ketenteraman di sekitar lombong emas berkenaan.

Marape berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada polis untuk menyasarkan dan menghentikan mereka yang bertanggungjawab mendalangi keganasan terbabit.

Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh di sekitar kawasan lombong, manakala ratusan lagi telah kehilangan tempat tinggal akibat keganasan terbabit.

Keadaan darurat telah diisytiharkan di negara itu dan pada masa yang sama, pasukan keselamatan diberikan kuasa untuk menggunakan kekerasan bagi mengawal keganasan terbabit.

Penjualan alkohol turut dilarang dan perintah berkurung waktu malam juga diperkenalkan.

Lombong emas Porgera pernah menyumbang sekitar 10 peratus daripada pendapatan eksport tahunan PNG. Bagaimanapun, keganasan antara puak di kawasan berkenaan sering membantutkan pengeluaran di lombong berkenaan. – REUTERS