BEIJING: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengadakan Lawatan Negara ke China bermula esok sehingga Ahad ini atas jemputan Presiden Xi Jinping.
Wisma Putra memaklumkan, Lawatan Negara pertama oleh baginda ke China sejak menaiki takhta pada 31 Januari lalu mencerminkan keutuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang kian berkembang pesat sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada 2013.
Keberangkatan Sultan Ibrahim akan diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zain dan pegawai kanan dari Istana Negara serta kementerian serta agensi berkaitan.
“Yang di-Pertuan Agong akan menerima sambutan negara di Great Hall of the People di Beijing, diikuti pertemuan bersama Jinping serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang diadakan Presiden China sebagai tuan rumah.
“Baginda turut berkenaan menerima menghadap Perdana Menteri China, Li Qiang,” kata kenyataan itu, hari ini.
Selain itu, Sultan Ibrahim juga dijadualkan menghadiri upacara penamaan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University sebagai satu penghormatan kepada baginda, diikuti sesi ramah mesra bersama rakyat Malaysia di negara berkenaan.
Wisma Putra berkata, Lawatan Negara itu memberi peluang yang sangat baik bagi Malaysia dan China untuk menegaskan komitmen bersama dalam memastikan hubungan antara kedua-dua negara kekal dengan pendekatan memandang ke hadapan, dinamik dan makmur demi manfaat rakyat masing-masing berdasarkan saling mempercayai serta menghormati.
“Lawatan ini juga bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Selain pertukaran lawatan peringkat tinggi, pelbagai program rasmi turut dijalankan termasuk pengeluaran setem dan duit syiling peringatan serta penerbitan buku mewah pada 19 Jun lalu di Kuala Lumpur ketika lawatan Qiang ke Malaysia,” katanya.
Majlis makan malam bagi meraikan ulang tahun ke-50 turut diadakan pada 31 Mei lalu di Beijing dan 19 Jun di Kuala Lumpur.
Pada 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan RM450.84 bilion (AS$98.90), yang menyumbang kepada 17.1 peratus perdagangan global negara ini.
Perdagangan terus meningkat pada pertengahan tahun pertama 2024, mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM234.09 bilion (AS$49.53 bilion) berbanding RM214.87 bilion (AS$48.21 bilion) pada pertengahan tahun pertama 2023.
Pada suku tahun pertama 2024, sejumlah 24 projek diluluskan dengan jumlah pelaburan RM3.4 bilion (AS$717.7 juta). – BERNAMA