LONDON: Marcus Rashford, Alejandro Garnacho dan Christian Eriksen masing-masing meledak dua gol ketika menewaskan kelab divisyen tiga, Barnsley 7-0 untuk mara ke pusingan 16 terakhir Piala Liga.
Turut mara ke pusingan keempat adalah pesaing Liga Perdana Inggeris, Brentford yang menewaskan Leyton Orient 3-1, dan Crystal Palace selepas mereka mengatasi Queen’s Park Rangers 2-1.
Fulham pula disingkirkan oleh kelab Liga Kejuaraan, Preston North End yang menang 16-15 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1. Ia adalah penentuan penalti paling lama dalam kejohanan berkenaan.
Ia adalah kemenangan terbesar dirakam pengendali United, Erik ten Hag sejak mengambil alih pasukan pada tahun 2022.
Penyerang England, Rashford menamatkan kemarau jaringan enam bulannya apabila menjaringkan gol ketika menentang Southampton hujung minggu lalu, dan hanya memerlukan 16 minit untuk merobek gawang Barnsley.
Antony menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua United pada minit ke-35 dan Garnacho menjaringkan gol ketiga di akhir babak pertama.
Garnacho meledak gol keduanya hasil hantaran Rashford sejurus selepas rehat dan membalasnya dengan mengumpan bola untuk gol kedua Rashford.
Eriksen menjaringkan gol pertamanya untuk United selepas lebih setahun, dengan menyempurnakan hantaran minit ke-81 Bruno Fernandes.
Dia kemudian meledak gol keduanya untuk melengkapkan kemenangan terbesar United dalam saingan Piala Liga dan jurang kemenangan terbesar sepanjang era Ten Hag.
“Saya rasa gol pertama oleh Marcus sangat baik, tetapi begitu juga yang lain. Kami bermain lebih pantas dan tajam di depan gawang.
“Kuncinya adalah sikap yang betul dan fokus 100 peratus,” kata Ten Hag. – REUTERS