KLUANG: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota penting untuk kestabilan dan pertumbuhan ekonomi di Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri mempunyai pelbagai perancangan untuk menjadikan Johor sebagai negeri maju menjelang 2030.
“Kita sudah ada kemajuan.., ada hasilnya. Selain itu daripada segi Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan eksport Johor adalah tertinggi dalam negara.
“Tidak lama lagi ada berita baik untuk ekonomi Johor yang akan terus meningkat pada akhir tahun ini iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Jumaat ini pula Inisiatif Zon Kewangan Khas akan dilancarkan (di Forest City, Iskandar Puteri). Ini usaha penting yang dibuat untuk negeri ini dan kita tidak lupakan Kluang sebagai hab ekonomi penting untuk Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Tanglung di sini malam tadi.
Onn Hafiz menggesa semua pihak supaya bersama-sama dalam satu pasukan bagi menjayakan agenda yang direncanakan untuk negeri ini.
“Saya rayu, tolong bantu saya, seorang wakil rakyat baharu calon Barisan Nasional, Syed Hussien Syed Abdullah boleh bekerja, bantu masyarakat dan bantu bangunkan Kluang bersama saya dan YB (Yang Berhormat) Wong (Shu Qi) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin,” katanya.