2 subkontraktor warga Myanmar rasuah polis bantuan direman 5 lima

GEORGETOWN: Dua lelaki warga Myanmar direman lima hari bagi membantu siasatan kes pemberian rasuah RM500 kepada polis bantuan sebuah agensi kerajaan di negeri ini.

Perintah reman terhadap lelaki masing-masing berusia 53 dan 31 tahun itu dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di sini, hari ini.

Kedua-dua mereka ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang di sini jam 3 petang semalam.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang juga subkontraktor tidak berlesen membabitkan kerja pemasangan penapis air itu disyaki memberi wang suapan sebagai balasan tidak menahan pekerja mereka.

Difahamkan pekerja suspek sepatutnya tidak boleh bekerja di Pulau Pinang kerana mempunyai permit bekerja di negeri lain, selain turut didapati memiliki kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) palsu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.