Perfume Paradise lebarkan sayap ke dunia sukan Muay Thai

PETALING JAYA: Jenama haruman terkenal tanah air, Perfume Paradise diumumkan sebagai penaja utama bagi Kejohanan Muay Thai T-Fight 4.0 yang akan berlangsung pada 21 September 2024 di Padang KRT Beris Kubor Besar, Bachok, Kelantan.

Penajaan ini bukan sahaja menzahirkan komitmen Perfume Paradise dalam menyokong sukan tempatan, malah membuka peluang kepada jenama tersebut untuk lebih dikenali di Pantai Timur.

Pengasas Perfume Paradise, Nur Afiqah Amran berkata, elemen keberanian, kekuatan, dan disiplin yang ada dalam sukan Muay Thai selari dengan moto perniagaan mereka.

“Perfume Paradise sinonim dengan haruman wanita, namun kami juga menghasilkan wangian untuk lelaki.

“Muay Thai adalah platform terbaik untuk memperluaskan pasaran kami dalam kalangan kaum lelaki.

“Perfume Paradise juga pernah dianugerahkan Superbrands Award 2024 dan ini merupakan satu kebanggaan buat kami,” katanya ketika sidang media kejohanan berkenaan yang diadakan di Sri Pentas Bandar Utama di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah T-Fight, Mohd Afendee Mohd Jaafar; Pengarah Pemasaran, Produksi dan Teknikal T-Fight, Mohd Khairul Hafiz Hassan dan Pengarah Kandungan Molek FM, Shamsul Mohamad.

Perfume Paradise turut merancang pelbagai aktiviti dan promosi menarik di lokasi kejohanan.

Antaranya, sebuah reruai khas berwarna merah jambu akan disediakan berhampiran pentas utama bagi menempatkan pelbagai hadiah dan permainan menyeronokkan.

Baju-T edisi khas T-Fight x Perfume Paradise turut dijual pada harga RM55, di mana pembeli akan mendapat kemasukan percuma ke kejohanan serta sebotol haruman 10ml Perfume Paradise.

Dalam kejohanan yang dijangka menarik lebih 6,000 penonton itu, pelbagai hadiah cabutan bertuah yang lumayan ditawarkan termasuk dua buah motosikal, iPhone 15, serta wang tunai RM1,000.

Malah, meja VIP eksklusif juga dijual pada harga RM1,800 untuk lapan orang sekeluarga.

Angkat sukan Muay Thai

Sementara itu, Mohd Afendee berkata, Kejohanan T-Fight 4.0 ini diharapkan dapat membawa sukan Muay Thai ke tahap yang lebih tinggi dengan penganjuran berskala besar yang sebelum ini tidak pernah diadakan di negara ini.

“Kami bukan sekadar mempromosikan sukan, tetapi juga membawa Muay Thai ke standard yang lebih tinggi, setanding dengan kejohanan antarabangsa seperti ONE Championship.

“Setiap pemenang Super Four akan melalui empat peringkat kejohanan setahun, dan perlawanan akhir akan menemukan juara dengan juara,” katanya.

Kejohanan ini akan menampilkan 12 fighter daripada pelbagai negeri termasuk Selangor, Kelantan, Kedah, Johor, Negeri Sembilan dan Sarawak.

Pihak T-Fight juga berhasrat untuk terus mencungkil bakat-bakat baru dan memperkasakan sukan ini dalam kalangan golongan belia.

Tiket percuma

Image

Tidak mahu melepaskan peluang mendekati peminat sukan tempatan, Molek FM menjadi rakan radio rasmi kejohanan.

Shamsul berkata, pihaknya melihat Muay Thai sebagai kebanggaan rakyat Kelantan dan kejohanan ini adalah platform terbaik untuk berinteraksi dengan pendengar.

“Kami ada tiga aktiviti utama iaitu promosi di radio, luar talian dan media sosial.

“Promosi di udara, di mana setiap jam akan ada dua pengumuman dan soalan trivia mudah. Pendengar yang berjaya menjawab soalan akan menerima tiket percuma.

“Kami juga sudah melancarkan promosi digital di Instagram, di mana lima komen pertama yang menjawab ‘Adakah anda ingin pergi?’ juga akan memenangi tiket percuma,” katanya.

Selain itu, aktiviti promosi luar talian bersama pasukan Molek FM turut diadakan di sekitar Kota Bharu untuk mengajak lebih ramai rakyat Kelantan memeriahkan kejohanan ini.

Kejohanan Muay Thai T-Fight 4.0 dijangka mencetuskan fenomena baharu dalam arena sukan tempatan, dengan harapan membawa nama Muay Thai dan produk tempatan seperti Perfume Paradise ke pentas lebih besar.